Brunei Darussalam, salah satu negara jiran kita di Kepulauan Borneo dan berkeluasan 5,765 kilometer persegi. Kalau nak dibandingkan, keluasan Brunei ni hampir-hampir dengan keluasan Negeri Sembilan. Kepada anda yang nak travel ke Brunei, boleh practice ronda-ronda Negeri Sembilan dulu ambil mood, hehe.

Okay tapi bukan itu yang nak Libur fokuskan dalam artikel ni. Libur nak fokuskan mengenai tips and trick untuk anda yang ada perancangan ke Brunei Darussalam.

Sekalipun Brunei mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Malaysia, jangan pula anda sesuka hati melanggar peraturan di sana ya. Alamatnya tak balik Malaysia la nanti.

Jadi, tanpa melengahkan waktu, jom kita ambil tahu apa yang perlu kita buat sekiranya ingin travel ke Brunei Darussalam.

Brunei berkeluasan 5,765 kilometer persegi

Ramai orang yang datang melancong ke Brunei hanya ambil masa sehari atau dua hari. Rugi sebenarnya sebab ada banyak tempat yang anda boleh lawati di sana. Sehari dua di Brunei, Taman Negara Ulu Temburong pun anda tak sempat pergi.

Libur cadangkan ambil masa antara tiga ke empat hari untuk melancong di Brunei. Brunei adalah satu negara yang sangat menarik dan jangan rushing untuk balik rumah.

Rakyat Brunei sangat ramah kepada pelancong

Rakyat Brunei adalah antara masyarakat yang peramah di dunia dan mereka juga sukakan pelancong datang ke negara mereka. Boleh dikatakan di setiap jalan, akan ada yang menyapa anda sekalipun mengucapkan perkataan ‘hi’ sahaja.

Rakyat Brunei juga suka travel, jadi siap sedia sekiranya mereka berkongsi kisah travel mereka kepada anda.

Undang-undang syariah di Brunei

Brunei adalah negara yang menggunakan undang-undang syariah dan undang-undang syariah tidak terpakai kepada yang bukan beragama Islam. Walaupun begitu, kepada anda yang bukan beragama Islam, tidak bermakna anda boleh melakukan apa sahaja di sana. Begitu juga kepada yang beragama Islam.

Jaga pemakaian dan sentiasa berpakaian sopan sekalipun anda jauh dari rumah. Cuba jaga nama baik Malaysia sewaktu anda berkunjung ke sana. Perbuatan yang bertentangan dengan syariah boleh jadi viral dan membuatkan anda terkenal di Malaysia.

Negara yang bosan untuk aktiviti jahiliah

Hanya orang yang membosankan sahaja yang cepat bosan. Ramai orang rasa Brunei ini bosan sebab tiada apa-apa aktiviti yang anda boleh lakukan di waktu malam. Tapi cuba anda buka jiwa dan minda anda untuk menyelami budaya masyarakat Brunei, mesti anda akan merasai keseronokkannya.

Di Brunei, anda tidak boleh berpakaian yang mendedahkan aurat seperti berseluar pendek. Tidak ada kelab malam di sana dan tidak ada satu kedai pun yang menjual minuman alkohol. Walau bagaimanapun, anda yang minum minuman alkohol boleh minum tuak bersama masyarakat Iban di daerah Temburong sewaktu persa menuai. Itu sahaja.

Aktiviti malam masyarakat Brunei pada waktu malam hanyalah minum kopi di kedai kopi atau restoran sehingga pukul 11 malam kerana kedai tidak lagi beroperasi selepas waktu itu.

Cara berpakaian yang sesuai di Brunei

Kepada yang bukan muslim, tidak perlu untuk anda try-hard berpakaian menutup litup seperti kawan-kawan muslim anda yang lain. Cukup sekadar anda berpakaian yang tidak menjolok mata.

Baju biarlah di bawah paras lengan dan kain pula biarlah di bawah paras lutut. Kepada lelaki, seeloknya anda berseluar panjang ketika keluar bersiar-siar menikmati keindahan negara Brunei Darussalam.

Elak bercakap soal politik

Hati-hati bila bercakap tentang Brunei lebih-lebih lagi berkaitan Sultan mereka. Perkara ini adalah perkara sensitif dan ada tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya anda menyinggung perkara berkenaan Sultan Brunei.

Jadi, lebih baik anda elakkan daripada berbual soal politik di sana lebih-lebih lagi jika anda ada perkara-perkara kritikal yang ingin dibualkan. Ingat, Brunei tiada hak kebebasan bersuara.

Pengangkutan awam tidak selalu digunakan

Sekiranya anda travel ke sana dan tidak memandu kenderaan, adalah elok sekiranya anda boleh merancang perjalanan anda terlebih dahulu. Ada bas dari lapangan terbang ke pusat bandar, tapi kekerapannya tidak banyak dan bas akan bertolak tepat pada waktunya.

Kebanyakkan tempat-tempat menarik di Brunei boleh diakses dengan hanya berjalan kaki sahaja dan sekiranya jarak tempat yang anda tuju itu jauh, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Lebih berbaloi sekiranya anda boleh menginap di kawasan pusat bandar kerana anda boleh menjimatkan kos untuk menaiki teksi di sana.

Untuk menggunakan  perkhidmatan teksi, download aplikasi Dart atau Grab. Aplikasi ini akan memberikan lokasi anda, jumlah kos dan pemandu teksi akan mengambil anda di lokasi yang diberikan.

Brunei adalah syurga makanan

Rakyat Brunei juga adalah pencinta makanan dan anda jangan tinggalkan negara Brunei tanpa mencuba beberapa menu makanan tempatan tatkala travel di sana. Anda perlu cuba ambuyat dan street food Brunei apabila berkunjung ke night market.

Makanan laut di sana fresh dan cukup rempah ratusnya. Sekiranya anda travel ke sana, cuba makanan laut mereka. Antara menu makanan lain yang dicadangkan adalah Nasi Katok.

Rebut peluang ke Taman Negara Ulu Temburong

Walaupun hasil utama negara Brunei adalah petroleum, kerajaan mereka turut mementingkan usaha untuk penjagaan alam sekitar bagi melindungi alam semulajadi mereka yang kaya dengan flora dan fauna ini. Dan untuk pengetahuan anda, Brunei antara negara yang mempunyai hutan hujan dara yang terbaik di dunia.

60% daripada keluasan negara ini masih ditutupi hutan hujan dan masih belum diteroka oleh manusia. Walapun hanya sebahagian sahaja kawasan Ulu Temburong yang boleh dilawati orang awam, itu sahaja sudah cukup memuaskan bila melihat keindahan alam semulajadi di sana.