Ads

Itinerary Sehari Di Perlis, Dari Wang Kelian Hingga Kuala Perlis

Perlis

“Perlis ada lapan orang sahaja” antara gurauan yang sering kita dengar apabila bercakap tentang negeri paling kecil di Malaysia ini.

Disebabkan saiznya yang kecil dan kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, Perlis juga sering dianggap sekadar tempat persinggahan sebelum pelancong meneruskan perjalanan ke Hatyai.

Namun, jangan pandang sebelah mata! Selain Padang Besar, sebenarnya banyak tempat menarik di Perlis yang boleh diterokai.

Malah, saiz negeri yang kecil memberi satu kelebihan kepada pelancong. Anda tidak perlu mengambil cuti panjang kerana dalam masa sehari pun sudah boleh singgah ke beberapa lokasi popular sambil menikmati suasana kehidupan masyarakat tempatan.

Kalau anda merancang short trip, ini cadangan itinerary sehari di Perlis yang boleh anda cuba.

Pagi (6.30 – 10.00 Pagi): Kejar Sunrise Di Wang Kelian

Perlis

Mulakan perjalanan seawal pagi dengan menikmati keindahan alam semula jadi di Wang Kelian.

Jika cuaca mengizinkan, anda berpeluang menyaksikan matahari terbit dan pemandangan awan yang cukup memukau dari kawasan tanah tinggi.

Udara pagi yang nyaman serta panorama perbukitan menjadikan lokasi ini antara tempat menarik untuk memulakan perjalanan di Perlis.

Selepas itu, teruskan perjalanan ke Gua Kelam.

Di sini, anda boleh menyusuri laluan pejalan kaki sambil menikmati suasana tenang dan melihat keunikan formasi batu kapur yang menjadi antara tarikan semula jadi terkenal di negeri ini.

Tengah Hari (10.30 Pagi – 2.30 Petang): Timah Tasoh & Shopping Di Padang Besar

Perlis

Ads

Kredit Foto : Astro Awani / Google & @aimalexa / Instagram

Sebelum matahari semakin terik, singgah pula ke Empangan Timah Tasoh.

Dengan pemandangan tasik luas berlatarbelakangkan bukit-bukau, kawasan ini cukup menarik untuk mengambil gambar dan menikmati suasana santai.

Empangan ini merupakan sebuah takungan air buatan manusia yang turut menjadi kawasan rekreasi dan antara lokasi popular dalam kalangan pengunjung ke Perlis.

BACA JUGA: 3 Lokasi Bersejarah Wajib Dikunjungi Sempena Bulan Kemerdekaan

Selepas puas bergambar, teruskan perjalanan ke lokasi yang memang sinonim dengan negeri ini iaitu Padang Besar.

Boleh dikatakan tidak lengkap perjalanan ke Perlis tanpa singgah membeli-belah di sini. Kawasan sempadan ini terkenal dengan pelbagai pilihan barangan termasuk pakaian, kraftangan, barangan dapur, makanan dan pelbagai produk dari Thailand.

Ads

Sambil membeli-belah, bolehlah cari makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan.

Petang (4.00 – 6.00 Petang): Recharge Di Ladang Nipah Kipli

Perlis

Kredit Foto: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda / website

Selepas seharian bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, tiba masanya untuk memperlahankan rentak perjalanan.

Singgah ke Ladang Nipah Kipli untuk menikmati suasana kampung yang lebih santai.

Berehat di bawah pepohon nipah sambil menikmati segelas nira segar memang cukup menyegarkan, terutama selepas seharian berjalan.

Jangan lupa cuba hidangan tempatan seperti Laksa Perlis untuk melengkapkan pengalaman menikmati makanan negeri ini.

Ads

Malam (7.00 – 9.00 Malam): Sunset & Seafood Di Kuala Perlis

Kredit Foto: Malaysia.travel / Website

Menjelang petang, bergerak pula ke Kuala Perlis.

Antara lokasi yang boleh dikunjungi ialah Masjid Al Hussain, yang turut dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis. Kedudukannya berhampiran laut menjadikan kawasan ini cukup menarik untuk menikmati suasana senja.

Selepas matahari terbenam, tutup perjalanan seharian anda dengan menikmati hidangan makanan laut segar di sekitar Kuala Perlis.

Memang sesuai untuk berehat sambil menikmati angin laut selepas seharian meneroka negeri paling kecil di Malaysia.

Datang Ketika Musim Harum Manis Lagi Best!

Jika mahu pengalaman yang lebih istimewa, anda boleh merancang perjalanan ketika musim mangga Harum Manis, buah yang cukup sinonim dengan Perlis.

Bagi yang datang menggunakan ETS, menyewa kereta atau motosikal boleh memudahkan anda bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Namun, jika mahu perjalanan lebih fleksibel, memandu kenderaan sendiri merupakan antara pilihan paling mudah kerana anda boleh menentukan sendiri masa untuk berhenti dan meneroka setiap lokasi.

Walaupun kecil, Perlis sebenarnya mempunyai banyak tarikan untuk diterokai. Daripada pemandangan alam semula jadi, lokasi membeli-belah, makanan tempatan sehinggalah suasana santai di Kuala Perlis, semuanya boleh dinikmati dalam satu perjalanan singkat.

Kalau ada masa lebih, barulah sambung perjalanan ke Thailand. Tetapi sebelum melintas sempadan, pastikan anda sudah puas meneroka Perlis terlebih dahulu!

Dapatkan tips percutian, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Jom Kita Travel

Sempena Hari Malaysia, Jom Kenali Pakaian Tradisional 7 Etnik Yang Mewarnai...

Malaysia bukan sahaja terkenal dengan pulau yang cantik, makanan yang pelbagai dan destinasi menarik. Salah satu kekayaan negara yang paling bernilai ialah kepelbagaian masyarakat...