
Siapa sangka, sebuah terusan tebatan banjir yang asalnya dibina khas untuk tujuan keselamatan kini bertukar menjadi destinasi percutian impian yang kian tular di media sosial.
Terletak di Kuala Perlis, Kampung Wai kini mekar sebagai salah satu port percutian ala kembara yang wajib masuk dalam bucket list percutian anda.
Menyusur Masa Lampau di Terusan Timah Tasoh
Daya tarikan utama di sini ialah pengalaman menaiki bot menyusuri Terusan Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh. Sepanjang pelayaran santai sekitar 30 minit ini, anda bakal dihidangkan dengan panorama yang menakjubkan:
BACA JUGA: Itinerary Sehari Di Perlis, Dari Wang Kelian Hingga Kuala Perlis
- Pemandangan Bukit Batu Kapur: Formasi batu kapur megah yang dipercayai berusia 500 juta tahun.
- Keindahan Flora & Fauna: Ekosistem semula jadi yang kaya dan menenangkan jiwa.
- Terowong Banjir Berlampu Warna-Warni: Pengalaman merentasi terowong sepanjang 765 meter di bawah Banjaran Nakawan yang memukau!
“Dulu orang tak tahu sangat pasal tempat ini. Bila dah viral di media sosial, ramai yang datang nak tengok sendiri. Mereka rasa teruja bila tahu terusan indah ini sebenarnya dibina untuk tebatan banjir,” kata pemandu pelancong tempatan, Muhamad Hairie Akif Shahrun Anuar menerusi Bernama.
Aktiviti Kembara & Rekreasi Tempatan
Kebangkitan pelancongan di Kampung Wai turut merancakkan ekonomi anak muda tempatan. Buat anda yang sukakan aktiviti santai dan outdoor, pelbagai aktiviti menarik menanti di sini:
- Kayak & Basikal Air: Terokai ketenangan alur air mengikut rentak dan tempo anda sendiri.
- Motosikal Roda Tiga: Pusing-pusing sekitar kampung sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa dan merasai kehangatan komuniti tempatan.
Syurga Gastronomi Utara
Kunjungan ke Perlis pastinya tidak lengkap tanpa memanjakan deria rasa anda. Lepas penat berkayak atau menyusuri terusan, singgah menikmati hidangan popular ini:
- Laksa Perlis dengan kuah ikan pekat yang beraroma.
- Pulut Mempelam yang lemak manis.
- Sajian Hasil Laut Segar di jeti Kuala Perlis serta pelbagai variasi makanan cita rasa utara.
Ternyata Perlis bukan lagi sekadar laluan transit untuk ke negara jiran, tetapi sebuah destinasi percutian serba lengkap yang menawarkan ketenangan alam, keunikan sejarah, dan makanan yang memikat hati.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!
