• 79
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    79
    Shares
[mashshare]

TEKS : HAFEZDZULLAH MOHD HASSAN

Bercuti di Krabi sewaktu luar musim tetap menyeronokkan walaupun gagal melibatkan diri dengan aktiviti laut yang sepatutnya menjadi keutamaan. 

Sensasi Luar Biasa

Tidak sempurna rasanya mengunjungi Krabi tanpa mengikuti aktiviti lautnya. Namun, keadaan cuaca yang tidak stabil dan membahayakan menyebabkan penulis akur, langsung melupakan aktiviti island hopping dan snorkeling yang dihajatkan. Sebagai alternatif, pakej yang menawarkan aktiviti di hutan menjadi pilihan utama. Terdapat banyak sebenarnya aktiviti hutan yang ditawarkan di Krabi. Jumlahnya dianggarkan lebih banyak daripada aktiviti laut yang sedia ada. Rambang mata memilihnya kerana setiap satunya mempunyai pesona tersendiri yang mencetuskan sensasi. Ada yang ekstrem dan ada juga yang santai. Namun, penulis cenderung memilih elephant trekking dan melawat beberapa tempat menarik seperti hot stream waterfall dan emerald pool. Aktiviti tersebut mungkin nampak santai tetapi menjanjikan sensasi luar biasa kerana setiap satunya tidak terdapat di negara kita. Di samping itu,harga yang ditawarkan juga murah, sekitarTHB 1000 (RM100) sahaja.

 

Air Terjun Panas

Aktiviti pertama yang dilakukan ketika berada di Krabi ialah mengunjungi Hot Stream Waterfall. Ia merupakan air terjun panas yang berada di dalam tempat bernama Khlong Thom. Ramai pelancong menggelar air terjun panas ini sebagai jakuzi semula jadi kerana suhu airnya yang panas dan kedudukannya yang berada didalam hutan. Difahamkan, air dari Hot Stream Waterfall ini mampu memberi faedah kepada orang ramai. Selain menyegarkan dan menyihatkan badan, ia juga diyakini mampu menyembuhkan beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan kulit kerana kandungan garam mineralnya. Hot Stream Waterfall cuma lima meter tinggi dan 10 meter lebar. Suhu airnya boleh tahan panas iaitu sekitar 42 darjah Celsius. Di dalamnya terdapat beberapa buah lubang berbentuk kolam yang membenarkan pelancong untuk berenang atau berendam sambil merehatkan minda. 

 

Kolam Hijau Zamrud 

Selepas berendam dan merakamkan momen indah di Hot Stream Waterfall,penulis bertolak pula ke Emerald Pool yang terletak di dalam Hutan Simpan Khao Phra Bang. Kolam berwarna hijau zamrud ini berada tidak jauh daripada Hot Stream Waterfall. Hanya beberapa minit sahaja diperlukan untuk sampai ke sana dengan menaiki van. Emerald Pool hanya boleh diakses dengan berjalan kaki sahaja. Tidak ada satu pun jenis kenderaan dibenarkan masuk ke dalam kawasannya. Tujuannya tidak lain adalah untuk memelihara keindahan semula jadi Hutan Simpan Khao Phra Bang, sekali gus menghindar pencemaran bunyi dan udara. Dianggarkan, jarak antara pintu masuk hutan simpan tersebut dengan Emerald Pool ialah 800 meter. Terdapat dua buah Emerald Pool didalam Hutan Simpanan Khao Phra Bangini. Satu daripadanya berada jauh daripada yang pertama. Jaraknya dianggarkan lebih kurang 1400 meter dari gerbang utama Hutan Simpan Khao Phra Bang. Kerana kesuntukan masa, penulis tidak sempat mengunjungi kolam tersebut yang dikatakan lebih kurang sama sifatnya.

 

Haiwan Bersaiz Gergasi

Elephant trekking merupakan aktivitihutan terakhir penulis sepanjang berada diKrabi. Ia boleh disifatkan sebagai kemuncakkerana menjanjikan keseronokan di sampingmemberi sedikit pendedahan tentangkehidupan sebenar haiwan bersaiz gergasiyang banyak terdapat di Thailand ini. Elephant trekking yang mengambil masa selama sejam diadakan di Khao Phanompenja, sebuah kem memelihara gajah yang terdapat di dalam ladang kelapa sawit berdekatan AoNang. Aktiviti ini dimulakan dengan melalui laluan sukar ala-ala off-road dan berakhir dengan laluan mudah merentasi kampung. Terdapat lebih kurang enam ekor gajah yang ditugaskan untuk membawa pelancong di kem ini. Kesemuanya adalah ahli keluargayang terdiri dari daripada anak, emak, bapak dan atuk. Gajah-gajah ini berada dalam lingkungan umur 16 tahun hingga 60 tahun. Semuanya jinak dan telah berkhidmat dengantuan mereka lebih daripada 10 tahun.Elephant trekking tidak hanya tertumpu pada aktiviti menaiki gajah semata-mata. Dalam masa yang sama,pengunjung yang mengikutinya turut dihiburkan dengan persembahan ala-ala sarkas oleh anak gajah berusia enam tahun. Di samping itu, mereka juga diberi peluang untuk memberi gajah yang ada makan.

 

Pakej Lebih Murah

Mengunjungi Krabi sewaktu luar musim ada kebaikannya. Pada ketika ini, harga pakej percutian yang ditawarkan lebih murah berbanding musim kemuncak. Tidak kira sama ada tiket kapal terbang, penginapan,makanan, pakej aktiviti ataupun cendera hati.Semuanya jatuh merudum disebabkan faktor kekurangan pelancong. Kajohn Hmanmuy, Pengurus Operasi Krabi Local Tour berkata, waktu luar musim memberi kesan pada perniagaan mereka.Pengurangan pendapatan mula berlaku dengan begitu ketara sekali pada ketika ini sehingga ada di antara peniaga yang berehat dan memberikan tumpuan pada aktiviti lain. “Aktiviti kami tidak sesibuk sewaktu musim kemuncak. Kami lebih banyak menghabiskan masa dengan berehat di rumah. Malah, kami juga terpaksa menurunkan harga pakej yang ditawarkan sehingga pendapatan kami terjejas selama beberapa bulan,” tambahnya. Benar seperti yang dikatakan. Bercuti itu perlukan perancangan. Kita harus tahu keadaan semasa, keselamatan dan cuaca, destinasi yang hendak dituju. Kalau tidak,emosi percutian pasti akan terganggu dan berakhir dengan penyesalan. Oleh itu, penyelidikan harus dibuat sebelum menetapkan tarikh percutian agar destinasi yang dituju tidak berada di dalam waktu luar musim.

Tinggalkan Komen

POST BERKAITAN

[wpdreams_rpl]

ITENERI

Muat turun iteneri kami dan rangka percutian anda sendiri agar menjadi lebih menarik!

Muat turun iteneri kami dan rangka percutian anda sendiri agar menjadi lebih menarik!

Facebook

Facebook By Weblizar Powered By Weblizar

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: