
Trend pelancongan dan percutian kian berkembang dan berevolusi dari semasa ke semasa dan senario tersebut tidak lagi seperti pelancongan biasa yang kita ketahui beberapa tahun dahulu.
Senario kini, pelancongan telah berkembang kepada beberapa kategori yang mengkhususkan kepada kumpulan sasaran pasaran dan antaranya adalah pelancongan sukan – seperti namanya, kategori pelancongan ini memfokuskan mereka yang ingin melancong dan sukan adalah salah satu acara utama dalam itinerari percutian.
Mengambil contoh di negara kita sendiri, terdapat pelbagai acara sukan di pelbagai peringkat yang dianjurkan saban tahun. Peringkat-peringkat tersebut termasuklah penganjuran sukan di peringkat domestik mahupun antarabangsa dan semestinya perkembangan ini menarik minat ramai penggemar sukan serata dunia untuk datang ke Malaysia – sama ada menjadi sebahagian daripada pemain sukan mahupun sebagai peminat yang mahu menyaksikan sendiri sukan tersebut dengan mata mereka sendiri.

Contoh sukan peringkat antarabangsa yang mendapat tempat dalam kalendar tahunan Malaysia adalah golf. Setiap tahun, pasti ada sahaja acara sukan golf yang dianjurkan dan penglibatan pemain bukan sahaja di peringkat tempatan, malah pemain di peringkat antarabangsa juga turut hadir untuk merebut kejuaraan yang dipertandingkan.
Antara lokasi yang sering menjadi keinginan pemain-pemain golf untuk memukul bola di negara ini adalah di Mines Golf Resort yang terletak di Seri Kembangan, Selangor, selain daripada Tropicana Golf & Country Club dan Saujana Golf & Country Club.

Keinginan tersebut bukan sahaja menarik pemain golf sebarangan untuk bermain di sini kerana kelab golf berkeluasan 190 ekar ini pernah menyaksikan pemain golf terkemuka seperti Tiger Woods dan Mark O'Meara beraksi dalam kejohanan dunia pada 1999 dan 2012.
TRIVIA Pengurusan baharu Mines Golf Resort sejak Januari 2017 mengamalkan konsep terbuka dengan membenarkan ahli kelab membawa tetamu untuk bermain di sini. |
Namun, status kelab golf ini yang 'eksklusif' membuatkan ramai pemain-pemain golf di luar sana tidak dapat menikmati keasyikkan untuk bermain di sini. Ini kerana, pengasasnya Tan Sri Lee Kim Yew berhasrat untuk mengekalkan status 'eksklusif' tersebut dengan membuka kelab golf ini hanya untuk ahli-ahlinya sahaja.

Bagaimanapun, selepas pihak Kumpulan Zikay mengambil alih pengurusan golf, orang luar kini diberi peluang untuk bermain dan merasai sendiri lapangan hasil rekaan Robert Trent Jones Jr. dari Amerika Syarikat, dengan hamparan rumput bermuda greenless park (gip) pada fairway dan tiffdwarf di permukaan green di Mines Golf Resort ini.

TRIVIA Mines Golf Resort membelanjakan RM200,000 sebulan untuk menjaga kualiti padang golf yang sudah berusia 24 tahun ini. |
Walaupun membuka peluang kepada orang luar, pihak pengurusan Kumpulan Zikay juga turut mengekalkan keutamaan terhadap ahli-ahli kelab tersebut. Selain itu, Mines Golf Resort juga telah menghadkan jumpa ahli kelabnya sebanyak 500 orang sahaja supaya mereka dapat memastikan status kelab yang 'ekskusif' ini dapat dikekalkan.

TRIVIA Mines Golf Resort mengehadkan kejohanan ini sebanyak tiga atau empat kali setahun bagi menjaga kondisi lapangan dan green selain mengekalkan status eksklusif kelab golf ini. |
Dengan harga baharu ini mereka percaya golongan kelas pertengahan mampu untuk bermain golf di Mines yang dianggap sebuah kelab cukup eksklusif dan susah untuk bermain di situ kalau bukan ahli dan seperti kelab-kelab yang lain, Mines Golf Resort juga menyediakan pelbagai fasiliti seperti restoran, dewan, bilik persalinan dan banyak lagi untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pemain.



Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kuak Hill Resort Di Lenggong, Tempat Berdamai Dengan Alam Semula Jadi

Sesekali nak berdamai dengan alam, boleh hala ke Kuak Hill Resort, Lenggong, Perak. Lokasi percutian ini berdekatan dengan Gerik, Empangan Temenggor dan Tasik Banding.
Kuak Hill Resort sesuai untuk anda yang ingin bercuti dalam suasana ketenangan dan di kelilingi alam semula jadi. Anda dapat melihat keindahan pemandangan Tasik Raban dari atas bukit di Kampung Lata Papan, Kuak.
Kuak Hill Resort Di Lenggong, Tempat Berdamai Dengan Alam Semula Jadi
Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali dengan nama Ameera, dia memilih Kuak Hill Resort, Lenggong kerana lokasinya yang dekat tetapi menyeronokkan.
“Nah inilah tempatnya, sangat tenang, sejuk dan mendamaikan. Jauh dari kesibukan kota, terletak di atas bukit perkampungan Melayu di Lenggong. Alhamdullillah dapat juga menikmati keindahan di atas sini, sebab sebelum ini hanya tengok sahaja,” kata Ameera.
Bagi anda yang inginkan percutian yang tenang, tiada gangguan, lokasi ini menjanjikan kepuasan buat anda dan keluarga. Hanya bunyi kicauan burung dan bunyi alunan air bukit yang mengalir kedengaran. Bilik perlu ditempah lebih awal kerana tempat ini sentiasa sahaja penuh.
Ini catatan pengalaman Ameera sepanjang bercuti di Kuak Hill Resort, Lenggong.
1. Dari perkarangan tempat letak kereta, kita perlu naik ke atas. Perjalanan mengambil masa selama 15 minit. Kereta perlu diletakkan di bawah memandangkan lokasi agak tinggi.
2.Apabila sudah sampai ke atas, kita akan disajikan dengan keindahan alam ciptaan Allah yang tidak terkata cantiknya.
3.Tersedia juga kafe di sini. Hati-hati ketika berjalan kerana laluan utama untuk naik dan turun agak curam. Tidak terasa penat berjalan bila melihat suasana hijau dan menyegarkan.
4. Ada zoo kecil juga di sini. Anak-anak pasti suka. Bagi ibu bapa pula jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini kerana banyak tempat menarik untuk merakamkan kenangan percutian.
5.Tersedia juga kenderaan pacuan empat roda untuk kemudahan bergerak ke sana sini.
6. Buat penggemar kopi, boleh minum kopi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
7. Wajib bila ke mana-mana bawa pulang cenderamata. Di sini juga ada disediakan pelbagai pilihan cenderamata yang terletak berhampiran meja pendaftaran.
8. Bilik untuk keluarga pun besar dan selesa.
9. Boleh mandi-manda di kolam mandi yang turut tersedia di sini. Air dari kolam mandi datangnya dari air bukit. Sejuknya sampai ketulang.
10. Di luar bilik boleh lepak santai sambil minum kopi cicah biskut.
11. Pada waktu malam pula boleh buat barbeku bersama keluarga.
Lokasi percutian ini bukan sahaja sesuai untuk keluarga tetapi juga untuk pasangan yang sedang berbulan madu.
Pada waktu pagi pula, cuaca sejuk dan kabus tebal. Pasti rasa malas meninggalkan tempat tidur.
Sumber: Ameera
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suka Duka Empat Wanita Bersahabat Mendaki Gunung Fuji, Puncak Tertinggi Jepun

Cerita ini diambil dan diolah semula untuk pendaki yang ingin mendaki gunung diseluruh dunia. Semoga dengan cerita ini dapat membantu dalam melaksanakan ekpidisi atau cabaran tersebut. Paling menarik, pendakian ke Gunung Fuji ini dilakukan oleh empat orang wanita yang bersahabat.
Percutian dua minggu kami ke negara Ultraman ini akan berakhir pada 26 Jun. Menyedari akan tarikh yang hampir dengan musim rasmi, kami membuat perancangan rapi. Peluang ini terlalu hebat untuk dilepaskan. Tiada yang lebih ‘cool’ untuk seorang pencinta aktiviti luar yang sedang bercuti di Jepun selain daripada menyaksikan matahari terbit digunung tertinggi di negara matahari terbit.
Dari stesen Minatomirai kami ke Yokohama, bertukar trek di Hachioji, terus ke Otsuki dan akhirnya sampai ke Fuji Station di daerah Kawaguchiko. Dari situ, kami menaiki ‘bas mendaki’ (climbing bus) ke Fuji 5th Station. Keseluruhan perjalanan mengambil masa hampir 6 jam.
Di Fuji 5th Station kami membuat persiapan mendaki, menyalin pakaian, mengisi perut dengan bekalan yang dibawa, dan acara wajib sebelum setiap pendakian; membuat senaman regangan, berdoa memohon keselamatan dan merakam foto kenangan. 3.30 petang, kami memulakan langkah dengan lafaz bismillah. Setengah jam pertama kami melalui trek yang berbatu kasar, batu gunung berapi yang berwarna hitam. Keadaan batu
yang tidak padat menyebabkan kami cepat penat. “Batu jerlus”, kami bercanda. Selepas setengah jam, kami sampai ke Stesen ke-6, seperti yang tertulis di dalam Peta Panduan Mendaki.
MEMILIH ‘JALAN YANG BENAR’
Satu jam berikutnya merupakan pendakian yang mencemaskan. Keadaan kabus sangat tebal sehinggakan jika seorang dari kami berjarak sepuluh langkah pun, bayangnya sudah tidak kelihatan. Kami berjalan rapat diantara satu sama lain, tidak terlihat apa yang ada di hadapan, di belakang, kiri atau kanan. Lebih mencemaskan apabila kami tidak berselisih dengan seorang pendaki pun, samada yang ingin naik mahupun turun. Di dalam hati tidak berhenti berdoa. Paling mencemaskan apabila terdapat dua cabang jalan yang tiada papan tanda.
Kabus semakin tebal, keadaan semakin gelap, kami mula lemas. Senyap. Tiada siapa yang berani melontarkan cadangan mengikut gerak hati tentang jalan mana yang harus dipilih. Keputusan harus dibuat. Di kedua-dua jalan ada kesan tapak kasut. Dengan bermacam doa, saya memilih laluan sebelah kanan, berbekalkan pesanan kepada tiga lagi rakan, “jangan kemanamana, tunggu sehingga saya balik, saya mahu me’recce’ laluan”. Mujurlah laluan itu tidak jauh sebelum menemui jalan mati, sebuah bukit yang tidak boleh didaki. Kami meneruskan perjalanan mengikut laluan yang satu lagi. Selang tidak berapa lama, salah seorang dari kami terdengar suara orang bercakap-cakap.
Pada altitud tinggi, dalam keadaan oksigen yang semakin menipis dan keletihan yang berganda, “halusinasi” mungkin adalah jawapannya. Kami ketawa kecil, tak berdaya untuk mengusik dan gelak besar. Kemudian kami melihat lembaga hitam, semakin lama semakin mendekat. Ya Allah, syukur! Lembaga itu adalah manusia! Sekumpulan enam orang Jepun sedang berjalan turun. Ternyata mereka juga terkejut melihat kami, empat orang perempuan yang masih mendaki pada pukul 5.30 petang di dalam cuaca buruk. Dalam kesusahan berbahasa Inggeris, mereka bertanyakan pelbagai soalan kepada kami seperti dimana kami mahu menginap, bahan makanan dan kelengkapan pakaian menghadapi malam yang sangat sejuk.
Rupa-rupanya mereka baru turun dari stesen ke-8, Toyokan Inn di tempat kami mahu menginap. Daripada mereka kami mendapat tahu untuk sampai ke puncak adalah suatu yang mustahil disebabkan salji yang masih tebal.
Berjumpa dengan mereka memberi kelegaan kepada kami bahawa kami berada di trek laluan yang betul. Seterusnya kami melalui trek zig-zag dengan bongkah-bongkah batu yang diletak dalam sangkar besi. Disini kami terserempak pula dengan dua orang lagi pemuda Jepun, juga dalam perjalanan turun, turut menyuarakan keprihatinan yang sama. Menurut mereka, dalam minggu ini sahaja, sudah enam orang yang meninggal dunia akibat tergelincir. Mereka meninggalkan kami dengan ucapan “ganbatte!”.
“Ya Allah, tengok tu!”, jerit salah seorang dari kami yang berada paling hadapan. Serentak kami mendongak, deruan angin bertiup kencang menolak kabus lantas membuka pemandangan seindah filem dokumentari National Geographic. Kami seolah-olah berada di alam lain. Di hadapan kami terbentang puncak Gunung Fuji yang diselaputi salji memutih dilatari awan membiru.
Turut menambah keunikan adalah rumah-rumah penginapan pendaki yang bersusun cantik. Semangat yang pudar akibat keletihan kembali membara. Usai trek zig-zag, bermulalah cabaran berbatu. Trek menjadi semakin mencanak, ada kalanya kami terpaksa memegang rantai besi yang disediakan untuk memanjat. Salji mula kelihatan di tepi trek. Bagi sebahagian dari kami, ini adalah pengalaman memegang salji yang pertama dan sudah tentu kami tidak melepaskan peluang untuk bermain-main salji seketika.
IBARAT TIDUR DALAM PETI AIS
Kenipisan oksigen mula dirasa. Beg Deuter yang digalas semakin terasa memberat. Di ketika ini hanya semangat mengatasi kudrat. Walaubagaimanapun, sempat juga kami merakam detik-detik matahari terbenam. 7.30 petang. Dalam keadaan yang semakin gelap dan sejuk, sudah kelihatan Toyokan Inn tidak jauh dari kami. Toyokan Inn merupakan diantara sebilangan kecil penginapan yang beroperasi awal sebelum musim mendaki. Mereka berada di situ untuk membersihkan, menyiapkan segala kelengkapan dan keperluan untuk pembukaan rasmi musim pendakian yang akan berlangsung dalam 14 hari lagi.
Walaupun penginapan kami sudah semakin hampir, tetapi kerana kepenatan yang amat sangat dan oksigen yang semakin berkurangan, anak-anak tangga ke Toyokan Inn dirasakan sudah tidak mampu lagi untuk di panjat. Kami berhenti setiap tiga ke lima langkah untuk berhenti dan mengambil nafas. Air mata diantara kawan-kawan sudah mula mengalir di pipi. Dengan dorongan kata-kata semangat diantara satu sama lain, kami gagahkan juga kaki memanjat anak-anak tangga ke Toyokan Inn.
Perlahan- lahan, satu persatu….akhirnya sampai juga kami ke tempat penginapan di stesen ke-8 pada ketinggian 3,020 meter ini diiringi dengan linangan air mata kesyukuran. Bersyukur kerana selamat sampai.
Alhamdulilah. Penginapan di sini berharga 5000 yen satu malam (RM 200) tanpa makanan. Kami tidur dalam satu bilik yang biasanya memuatkan 20 orang kerana kamilah sahaja tetamu untuk malam ini. Keadaan bilik yang sangat sejuk terasa seperti berada di dalam peti ais yang besar. Kami diberi tilam dan selimut yang sangat-sangat tebal dan banyak, namun begitu, tilam, selimut, bantal dan segala peralatan di dalam bilik ini terasa sejuk seperti ais. Dengan suhu yang sangat sejuk dan kedinginan sehingga ke tulang hitam, kami melelapkan mata dengan berpakaian empat lapis lengkap bertopi, sarung tangan dan stoking. Pendakian yang sememangnya mempunyai nilainya yang tersendiri.
Pendakian ini menguji stamina, mental dan fizikal kami. Lebih dari itu, ia juga menguji tahap setiakawan kami berempat. Walaupun tidak sampai ke puncak, namun kami tetap menyimpan hasrat untuk kembali lagi dan menakluknya suatu hari nanti, pastinya kali ini dengan lebih ramai lagi bersama sahabat-sahabat di DATS ADVENTURE TREKKERS MALAYSIA!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Trip Si Kaki Travel Ke Lahaul, India Melawat Keluarga Suami. Bestnya Kawasan Rumah Mertua Dia!

Siapa kata waktu travel tak boleh jumpa jodoh? Artikel ni Syu Azis membuktikan cinta tak kenal backpackers tau. Sudahlah dapat husband oversea, rumah mertua dia best pulak. Argh! Geram.
okay takpa-takpa. Apa-apa pun, kita baca kisah Syu Azis ni first time ke rumah mertua beliau di Lahaul, India.
Ada info dan tips juga yang beliau kongsikan
Selamat membaca
Salam semua.. Saya nak share trip bulan 10 tahun lepas ke rumah mentua saya di Lahaul, Himachal Pradesh, India. Ini first time post dekat group di media social, segan sikit rasanya
Terletak di daerah Gondhla & ini kali pertama saya kesana walaupun dah hampir setahun berkahwin. Bagi yang tahu Lahaul Spiti, mesti dapat agak tempat dia macam mana. Saya share sedikit gambar-gambar yang bagi saya in real tersangatlah indah. Sedikit cerita seperti berikut ya, maaflah kalau panjang sangat :
Bahasa Lahauli:
- Ding antanchi, di jaga nishi tochi (i dekat hujung tu tak bunyi)
- Jemput datang, tempat ini sangat cantik
Dari mata turun ke hati
Sedikit coretan macam mana saya kenal husband. Saya jumpa dia pada tahun 2015, trip kedua saya ke India, half solo half with geng, Iena & Raha.
Saya jumpa dia sebab charger saya hilang. Dan kedai dia dekat main road, dia ada kedai phone & accessories di Manali Mall Road.
Saya mulanya tak suka dia sebab dia cas saya mahal, yela saya kan tourist. Masa tu dia tak pandang saya, busy kemas kedai tertonggeng tonggeng, pagi sangat time tu.
Cousin dia yang handle saya. Lepas dia pandang, adoi saya pulak yang terkesima jadi tak tentu arah. Sampailah phone saya pulak buat hal, tinggal kedai dia.
And lepas handphone elok saya dapat Whatssap dari dia say hi.. Rupanya dia ambik nombor saya masa phone rosak. Saya tak layan tapi lepas tu jadi kawan baik.
Sampailah dia propose kahwin. Walaupun ramai girl termasuk foreigner taruh hati pada dia, tapi dia pilih saya dan walaupun saya gemuk masa tu sekarang kecik sikitlah, dia sayang terlampau sayang. Bangga kejap ?
Buka tingkap nampak gunung, tutup tingkap nampak cinta ?
Rumah mertua berhadapan dengan beberapa ketul gunung ganang yang cantik gila. Bukak pintu rumah or dari dalam bilik kami nampak gah sangat. Seriously terpegun & takjub dengan kuasa Allah SWT.

Rumah mentua juga sangat bersih dan terjaga, tersusun. Sejenis saya yang suka benda kemas ni memang happy lah. Hari hari depa sapu, mop lantai especially dapur.
Sudah masuk winter jadinya tanah, gunung botak tapi sangat cantik dengan autumn yang hampir ke penghujung nampak lawa semuanya. In summer memang hijau, tersangat cantik dan kurang sejuk.
Walaupun saya dan suami menetap di Manali, gunung jugak tapi tak sama dengan Lahaul. Tiada pencemaran langsung, bersih, jalan raya berturap cantik, penduduk tak ramai, sunyi, selamat sampaikan masa reach Lahaul ni terpesona sekejap, semacam datang je dunia lain aje, rare.

Seronoknya kehidupan tenang macam ni
Low crime rate disini atau boleh katakan tiada langsung.
Tiada line telefon, kalau ada pun Telco BSNL yang ada 2G je. Maybe next year akan ada 3G, 4G dan lain lain telco like Airtel, Jio dan Idea pulak. Takde line pun saya rasa okay sebab sini tenang, damai walaupun kekadang tu pishang ?.
Air percuma, klinik kerajaan pun percuma kos rawatan & ubat ubatan.

Air minum fresh, sumber dari glasier atas gunung sedap sangat-sangat dan minum terus aje, tak perlu masak.
Dari atas bukit rumah mentua boleh nampak sungai jernih warna biru hijau bak mata Missworld 1994 Aishwarya Rai ? yang mengalir dari sungai Chandra dari asalnya Chandratal Lake mengalir ke utara.
Tak banyak kenderaan atas jalan raya, bunyi horn juga hampir tiada. Privacy at its best.

Nak makan apa-apa, cabut sendiri dari tanah
Emak, ayah mertua & adik ipar perempuan petani, jadi keliling rumah penuhlah dengan pokok sayur macam salad hijau, salad kuning & purple, kobis hijau & purple, carrot, brokoli, kentang merah, tomato, cauliflower, bawang besar, epal, pokok bunga lily, gardenia, rose etc.
Agak agak nak makan, pergi cabut salad & carrot makan gitu je sedap sungguh sebab tak gunakan racun perosak. Bawang besar semua size gedabak. Katanya bawang jenis hybrid, patut ler besar pun. Masa nak balik Manali, berguni guni kami dapat bekalan stok sayur, bawang, kentang, butter, ghee, gandum.



Susu nak minum perah sendiri. Minum susu fresh setiap hari. Butter dan ghee pun mentua buat sendiri. Thanks to lembu comel 4 ekor kesemuanya ?
Mertua sekeluarga cakap bahasa dialek Lahauli, jadinya memang saya blur kejap bila depa sembang. Tapi depa tahu hindi so dekat situ bolehlah sembang jugak sebab saya boleh lah jugak cakap hindi. Blur kalau hari hari dengar zong seng toch noch macam bahasa Korea pun ada, cina pun ada, Russia pun ada ?.
Diorang amalkan gaya hidup sihat
Kehidupan mereka sederhana & sihat walafiat. Nenek mentua yang saya panggil Dadi masih sihat, tiada penyakit, tak bertongkat, tak pakai spek mata mcm saya walaupun umur nak cecah 90 tahun. Sekali Dadi cengkam tangan saya adoi kuat betul dia ni, agaknya sekali dia lesing berpusing kau ?.

Dadi sangat manja dan selalu usik saya. Dia perfectionist and tak boleh tengok pinggan mangkuk lama dok atas meja, sure dia ambik & basuh. Tu belum tengok dia siapkan tempat tido (winter depa tido dapur sebab ada tandoor heater tu).
Walaupun berbeza agama, adat tradisi, fahaman dan sebagainya saya sangat hormati & sayangkan mereka. Bab makan juga Alhamdulillah kena dengan selera saya walaupun makan sayur saja. Sedap, simple dan tak terlalu berempah macam tempat lain di India.

Sedapnya makanan lokal diorang ?
Mereka banyak makan sup, dhaal, momo (sejenis macam dimsum inti sayur atau ayam/mutton), sayuran hasil tanaman sendiri & roti yang dibuat sendiri. Makan kentang rebus pun dah sedap bagi tekak saya.

Air teh tempatan depa panggil ‘Namkeen Tea’ yang diperbuat dari kayu apa saya tak sure, rebus campur dengan susu, butter & garam. Walaupun dengarnya pelik kan tapi rasa dia sedap. Mentua kalau bagi minum sampai 4-5 gelas sampai kembung perut ni.
Sini memang kampung habis. Orang perempuannya memang duduk rumah saja dan tak kemana mana melainkan kawasan rumah, tanah sendiri or jalan utama saja. Saya ni excited, so jalan-jalanlah kerumah jiran nak explore siap sembang bagai nak rak. Dah adik ipar kejar suruh balik dan dia kata jangan suka suka pergi rumah orang. Nanti jadi gossip sebab sini kampung ?.

Kaum perempuannya dididik dengan sangat baik. Hormat orang tua, rajin yang amat rajin, sopan santun, pandai masak, pandai mengait, pandai bertani, kemas rumah dan sentiasa memuliakan tetamu. Mereka jugak tak boleh tergedik gedik depan orang yang tak dikenali apatah lagi orang lelaki asing. Ni baru contoh hantaran tinggi melangit kan ooppsss ?.
Siapa nak datang sini jangan datang time winter ☃️
Dekat sini angin tiup macam duduk tepi laut tapi tahulah kan sejuknya macam mana. Suhu winter boleh cecah ke -17. Access road ditutup dari November to April coz snow tebal boleh cecah 6 ft. Kalau bukan winter saya dah stay sebulan dua dekat sini, tapi
InsyaAllah next year in summer saya nak duduk sini. Boleh tolong mentua bercucuk tanam, masak & perah susu lembu ke. Summer adalah busy time bagi depa. Time tu lah upah pekerja untuk bercucuk tanam sayur, so pagi-pagi lagi dah kena masak capati beratus keping nak bagi makan pekerja.

Mentua sangat-sangat rajin, buat kerja dari pagi sampai malam, sebab tu fit dan kuat. Walaupun mereka tua, rasa malu sebab tenaga mereka hebat. Ayah mentua pemalu, emak pula tak tahu nak sembang apa tapi dia cukup suka kalau tengok saya berhias. Lepas mandi tengok saya sikat rambut nanti dia puji lawa, kemas. Tak kemas nanti dia tegurlah. Saudara mara datang pun kena tengok saya dah lawa ke belum, then baru lepaskan saya jumpa ?.
First time diorang jumpa orang gemuk ?
First time jumpa saya, emak & adik ipar terkejut sebab saya gemuk. Belum pernah dalam sejarah keturunan depa ada yang gemuk. Tersentap sekejap! ? Atas nasihat diorang yang cakap dengan penuh berhemah, kita pun ambil inisiatif untuk turunkan berat badan. Padahal time tu dah lost 12kg kot. Skang total weight lost dah 28kg. Berhasil kau??. Nasihat yang berguna saya ambil. Lagipun sekarang banyak faedahnya saya dapat bila makin mengecil.

Amalan bersila pulak amalan kaum diorang so aku duduk bersimpuh aje lah dah bersila tak boleh hahaha lantakkan ?. Yelah peha besar dulu mana boleh nak bersila bagai, bersimpuh pun sopan apa? ? Sekarang alhamdulillah boleh bersila dengan sempurna.
Jom melancong ke sini 2020
Tahun ini or 2020 tunnel akan dibuka dari Solang Valley terus ke Lahaul. Memudahkan kami lawat family mentua dan memandangkan tunnel hampir siap, ramai penduduk tempatan yang balik semula ke Lahaul kerana daerah ini akan membangun dan jadi golden area untuk tourist.

Mereka akan start buat guesthouse dan husband mungkin akan komersialkan tempat ni dengan buat homestay rumahnya sendiri InsyaAllah. Husband jugak dalam plan nak tambah beli tanah di daerah ini. Menariknya, orang luar yang bukan penduduk asal Lahaul tidak boleh beli tanah di sini.
Budaya di sini berbeza, disebabkan depa dari suku kaum yang lain. Pakaian pun berbeza. Dengar kata saya kena pakai baju tradisional depa kalau majlis resepsi belah husband jadi buat, buat saya senyum aje. Tapi atas dasar hormat, pakailah juga kot nanti. Sopan je pun. Orang perempuan ada pakai tudung jugak tau jenis ikat macam orang zaman dulu, boleh tengok gambar.
Dari sampai rumah mertua, saya dihidangkan dengan makanan tradisi diorang yang macam rasa kuih tiram kita, cuma tak ada gula. Sedap sangat sampai habis kena buat lagi. Bertuah punya menantu. Nama kuih tu marchu. Saya pun belajar buat, bawak balik Manali.

Chai, susu segar dan namkeen chai
Sebelum sarapan wajib minum 3 gelas chai (teh susu), lepas tu 3 gelas susu segar, petang pulak namkeen chai 4-5 cawan cina kecil. Memang ulang alik ke toilet selalu ?
Masakan, okay seingat saya lah kan, depa masak guna bawang putih, bawang merah, kunyit dan garam sahaja untuk dhaal, sayur. Tapi sedap, simple. Stor simpanan makanan berpeti peti, size gedabak pulak tu macam untuk setahun. Rupanya untuk 6 bulan winter saja, perghhh.
Masa waktu makan, emak mertua & adik ipar akan hidangkan kami makan macam tuan, puan besar. Berhidang setiap seorang, selagi kami makan tak kenyang selagi tu depa tak makan. Makan pulak dalam pinggan macam emas, harganya mahal! Sebiji pinggan cecah RM50.00. Tapi hanya akan hidang makan dalam pinggan tu sahaja. Berat pulak tu.

Husband tak pernah cerita lebih-lebih pasal tempat dia dibesarkan ni. In fact dia tanya suka tak? Dia takut bini dia tak suka. Apa hilang akal ke punya lah cantik tempat ni sampai aku berlari lari dengan bawak backpacknya, berat pun beratlah masa tu dah sampai rumah mentua. Sebab teruja. ?
Lupa saya nak tambah. Mentua saya dan adik ipar saya tidak pernah keluar dari Himachal Pradesh dan tidak pernah ke Delhi. In fact, diorang pun tak suka tempat yang sesak, kotor dan udara tidak sihat. Banyak jugalah diorang tanya saya Delhi tu macam mana? Hehe siapa yang asal India sebenarnya ni? ?

Akhir kata, dari nak stay 3 hari aje dekat sini, terlajak ke 16 hari. Sampaikan mama dekat Malaysia jatuh sakit menangis setiap hari dok kenang manalah anaknya ni? Risau dia. Yelah line takde nak call lagu mana habaq mai? Mama mertua pulak kalau dapat delay sehari ke sehari bukan main happy dia. Adoilah dedua mama aku ni
Terima kasih baca sampai habis.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI