Setiap kali hujung minggu jika ada masa terluang, ramai yang memilih untuk bercuti dan bersantai bersama keluarga atau teman-teman di beberapa resort penginapan berhampiran yang selesa. Rata-rata akan mula scroll aplikasi penginapan yang menawarkan harga yang menarik dan lokasi yang menyeronokkan. Salah satu elemen penting dan bonus untuk anda jika terjumpa destinasi penginapan yang mempunyai fasiliti kolam renang.
Janda Baik di Bentong Pahang sering menjadi destinasi pilihan percutian jangka pendek hujung minggu. Tarikan alam semula jadi menjadikan ia pilihan terbaik bagi mereka yang mahu lari seketika daripada kesibukan kota. Selain itu lokasi Janda Baik juga tidak terlalu jauh. Hanya terletak kira-kira 45 minit pemanduan dari ibu negara menggunakan susur keluar Genting Sempah.
Ini pilihan penginapan menarik yang ada disekitar Janda Baik yang mempunyai kemudahan kolam renang. Memang best bawa anak-anak!
Villa Embun
Villa Embun menampilkan reka bentuk ala Bali. Elemen kayu, ruang dan privasi menjadi keutamaan dengan setiap vila mempunyai ruang legar luas, siling tinggi serta dipisahkan dengan tembok tinggi. Antara kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah rumah kelab, ruang mesyuarat dan seminar, gimnasium, restoran, barbeku serta pakej-pakej istimewa seperti majlis perkahwinan, percutian berbulan madu dan percutian keluarga.
Untuk ke vila, pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri hingga ke kawasan khas sebelum dibawa ke kawasan vila di puncak bukit menggunakan kenderaan buggy. Selain memudahkan pengunjung ke vila, cara itu adalah antara polisi Embun untuk mengelak gangguan bunyi, pencemaran asap, kesesakan trafik serta menjaga privasi pengunjung.
Ads
D’Villa Janda Baik
D’Villa Janda Baik salah satu penginapan hujung minggu pilihan ramai. Berjalan di sekitar D’Villa, pengunjung pasti akan terpesona dengan susunan landskap yang mengenengahkan elemen tumbuhan. Dikelilingi alam hijau, setiap bilik di sini mempunyai konsep tertentu iaitu Rainforest Rooms, European Premier Room, Modern Premier Room, Modern Family Room dan yang paling istimewa sekali adalah Balinese Executive Room. Paling menarik pastinya tumpuan akan diberikan kepada kolam renang yang disediakan khas untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Aman Rimba Private Estate
Aman Rimba Private Estate mampu memberikan kedamaian kepada tetamunya yang ingin lari jauh dari kesibukkan kota. Berkonsep reka bentuk kampung Melayu tradisional, vila ini terletak di tepi Sungai Benus yang mengalirkan air jernih.
Ads
Setiap villa di Aman Rimba Private Estate menjanjikan ‘feel’ yang berbeza dari sudut rekaan iaitu bercirikan rumah tradisional Melayu sehinggalah moden kotemporari. Sementara lanskap pula bercirikan tropikal dan ala Bali. Kemudahan kolam renang yang disediakan memberikan anda peluang bersantai sambil menghayati alam sekitar.
Saufiville Boutique Resort
Saufiville Boutique Resort terletak di disebuah kawasan bukit tinggi di Janda baik. Pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke kawasan ini. Paling menarik resort ini menawarkan kemudahan kolam renang infiniti dengan pemandangan bukit bukau yang menghijau.
Walaupun berada pada suhu sekitar yang agak sejuk, sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kolam renang ini anda akan dapat rasakan suhu di dalam kolam renang ini sangat suam dan begitu selesa. Terdapat beberapa buah bilik yang ditawarkan mengikut bajet anda. Resort ini juga menerima tempahan daripada tetamu luar yang datang semata-mata untuk menjamu selera sahaja tanpa perlu menginap.
Ads
Danau Daun Chalet
Danau Daun Chalets dibina di atas sebidang tanah yang penuh dengan rawa, pokok dan biodiversiti tropika.
Di resort ini terdapat beberapa jenis penginapan yang ditawarkan iaitu Teratak Air (lengkap dengan kolam renang peribadi di kaki bukit), Hillside Cottage, Danau Daun I & II (terletak di tepi kolam ikan) dan Danau Daun III (memiliki kolam peribadi dan terletak di sebalik kafe).
Serene Retreat
Serene Retreat berkonsepkan Bali terletak di sekitar Arena of Stars dan juga tokong Gua Chin Swee. Serene Retreat menawarkan 7 buah bilik yang masing-masing lengkap dengan ruang balkoni untuk anda menikmati udara segar dan pemandangan mendamaikan tanpa mengira masa. Beberapa aktiviti seperti kolam renang, basikal dan barbeku juga disediakan di lokasi ini.
Naaah! Ada dapat idea tak nak berlibur hujung minggu di mana minggu ni? Pilihan penginapan di sini memang menarik bukan?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Glamping pada hari ini menjadi antara trend percutian dalam kalangan pencinta alam semula jadi dengan menginap atau bermalam dalam khemah tanpa mengetepikan keselesaan.
Buat anda yang berkeluarga, percutian cara ini sangat berbaloi kerana lebih selesa terutama yang memiliki anak kecil. Glamping merupakan kombinasi idea percutian ‘glamour camping’ buat warga kota yang ingin mencari ketenangan dalam hutan.
Nah, ini satu lagi cadangan daripada LIBUR destinasi glamping menarik untuk anda habiskan masa bersama keluarga atau rakan-rakan pada hujung minggu nanti.
Canopy Villa Glamping Park satu lagi resort percutian berkonsepkan glamping yang terletak di Janda Baik, Pahang bakal memberikan satu pengalaman yang menyeronokkan kepada anda yang nak tinggal bermalam dalam khemah dan ingin dekat dengan flora dan fauna.
Pengunjung boleh alami suasana yang jauh dari hiruk pikuk kota raya dan celik mata dari tidur dengan pemandangan hijau yang terdapat di sekitar tempat ini.
Tambahan pula, ada banyak aktiviti yang boleh anda lakukan di sekitarnya seperti memanah, memancing, berbasikal, mandi sungai dan bersiar-siar di kawasan sekitar. Pada malam hari, aktiviti BBQ dan duduk mengelilingi unggun api akan menjadi penutup hari percutian kalian yang sangat indah.
Siapa yang pergi menonton perlawanan akhir Piala Suzuki Aff 2018 Malaysia lawan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi? Saya percaya, confirm ada ekor Harimau Malaya yang turun ke Hanoi esok.
Tapi, dah sampai sana, tak akan tak ke mana-mana kan? Alang-alang menyeluk pekasam tu biar sampai ke pangkal lengan. Dah sampai Hanoi, jom la pusing-pusing dulu.
Ini antara beberapa lokasi yang boleh dipertimbangkan sekiranya anda pergi menyokong Harimau Malaya di Hanoi esok.
Tasik Hoan Kiem dan Ngoc Son
Tasik Hoan Kiem di Hanoi menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menghindari kebisingan dan kesibukan bandar. Damai dan tenang, tasik ini mengelilingi Kuil Ngoc Son, sebuah pagoda yang terletak di tengah-tengah sebuah pulau kecil.
Kuil ini menarik banyak pelawat dan dibina untuk memperingati pemimpin tentera abad ke-13, Tran Hung Dao yang terkenal dengan keberaniannya dalam pertempuran melawan Dinasti Yuan. Pulau di mana kuil ini dibina dikenali sebagai Pulau Jade dan boleh dimasuki melalui Jambatan Huc atau Rising Sun Bridge yang merupakan jambatan kayu dicat merah jambu daripada reka bentuk Vietnam klasik.
Pagoda ini juga dijaga oleh dua menara yang mengagumkan, dihiasi dengan tulisan Cina. Tasik dan kuil ini mungkin tempat paling terkenal di bandar Hanoi sebagai tempat untuk berehat sambil menikmati pemandangan dan merupakan tempat yang bagus untuk duduk dan melihat penduduk tempatan.
Tasik dan kuil ini menawarkan banyak pokok dan teduhan untuk melarikan diri dari jalan-jalan bandar yang sibuk. Untuk menuju ke sini, anda boleh menuju ke Old Quarter dan pejabat pos utama yang terletak di sebelah tasik. Tiket boleh dibeli di gerai yang terletak di sebelah kiri sebelum anda menyeberangi jambatan.
Kuil dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang setiap hari dan masa yang terbaik untuk sampai ke tasik ini adalah waktu pagi untuk menonton penduduk tempatan melakukan yoga dan tai chi. Untuk sampai ke kuil, anda boleh berjalan melintasi jambatan Huc berwarna ke Jade Island.
Lokasi: Hanoi Old Quater
Imperial Citadel of Thang Long
Imperial Citadel of Thang Long adalah peninggalan sejarah Vietnam yang menarik serta menjadi tanda sejarah dan budaya masyarakat Vietnam yang penting, malah ia telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2010.
Imperial Citadel of Thang Long turut dikenali sebagai Kota Benteng Hanoi di samping penemuan banyak artifak bersejarah kurun ke-6 hingga kurun ke-20 yang digali pada tahun 2004. Penemuan artifak bersejarah ini termasuk asas binaan istana lama, jalan kuno, kolam dan telaga.
Di samping penemuan ini, ahli arkeologi juga menemui syiling gangsa, seramik dan tembikar dari China dan banyak tempat lain di Asia. Semuanya penemuan ini menunjukkan hubungan dagangan yang dekat di kawasan ini.
Tapak kuno ini adalah pusat politik negara selama 13 abad berturut-turut dan menjadi ibukota Vietnam selama lapan abad. Tarikan yang ketara di Imperial Citadel of Thang Long adalah Menara Bendera Hanoi, sebuah kubu batu berukuran 40 meter yang telah diubahsuai dan menawarkan pemandangan Ba Dinh Square dan Pusat Bandar Raya Hanoi.
Lokasi Imperial Citadel of Thang Long ini terletak di Daerah Ba Dinh, harga tiket untuk masuk ke kawasan ini berharga VND30,000 dan ia dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Isnin. Tapak terkenal ini juga berada dalam jarak 15 minit berjalan kaki dari tempat-tempat menarik seperti Kuil Quan Thanh, Muzium Sejarah Ketenteraan Vietnam dan Gereja Cua Bac.
Untuk mengunjungi kawasan yang menarik di sini, anda boleh terus ke bilik pameran yang mempamerkan barangan artifak yang menarik dan mock-up benteng istana kuno ini sendiri.
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (8 pagi hingga 5 petang) Lokasi: 9 Hoang Dieu, Dien Bien, Ba Dinh District, Hanoi Harga: VND30,000
The Perfume Pagoda
Pagoda Perfume, yang turut dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Chua Huong. Pagoda ini terletak di tengah-tengah kawasan yang sangat dihormati dan suci serta memaparkan kuil-kuil Buddhayang dibina di tebing batu kapur Huong Tich.
Di tengah kompleks pagoda ini terletak Kuil Perfume di Gua Huong Tich. Dipercayai bahawa kuil pertama dibina di sini pada abad ke-15, walaupun legenda setempat mengatakan bahawa tapak ini sebenarnya telah ditemui lebih 2,000 tahun yang lalu oleh seorang biarawan Buddha yang sedang bermeditasi di kawasan berhampiran.
Bukit-bukit di kawasan ini mempunyai keindahan alam semulajadi dan rohani yang penuh dengan sungai, tumbuh-tumbuhan tropika dan kuil. Terdapat banyak pagoda untuk dilawati dan setiap satu kuil menawarkan bentuk yang berbeza, kebanyakannya adalah Buddha walaupun terdapat satu atau dua daripadanya adalah animis.
Pagoda Perfume menarik penganut budha serta pelancong yang mencari nasib baik daripada stalagmit dan stalaktit di dalam gua yang telah dinamakan sesuai dengan rahmat yang dipercayai dapat ia berikan. Dun Tien menawarkan kemakmuran dan Nui Co menawarkan peluang melahirkan seorang gadis manakala Dun Gao diterjemahkan sebagai ‘tumbukan beras’ kepada mereka yang berharap untuk tuaian yang melimpah.
Pintu masuk Pagoda Perfume mempunyai ruang yang luas dan Gua Huong Tich menyerupai mulut naga yang terbuka serta dihiasi dengan huruf Cina kuno yang diterjemahkan sebagai ‘gua gred pertama di Dunia Selatan’, tarikh penulisan ini dianggarkan pada tahun 1770. Ruang di dalam gua terdapat banyak patung yang diukir dari batu hijau yang menghiasi kuil yang, termasuk salah satunya adalah Tuan Buddha dan satu lagi dewi Buddha Quan Am.
Stalaktit dan stalagmit licin juga mengisi ruang dalam gua dan sentiasa disentuh oleh jemaah yang mempercayai ia mampu untuk menyampaikan mukjizat dan nasib baik. Anda akan dapati kuil yang sangat sejuk di dalam dan juga sangat sibuk terutama pada hari-hari perayaan Chua Huong yang berlangsung dari Januari hingga April.
Adalah lebih baik mengambil masa untuk berhenti dan menikmati pemandangan di sepanjang laluan ke kuil kerana di sana mempunyai pemandangan yang sangat menarik, dihiasi dengan pokok buah-buahan termasuk aprikot dan herba ubatan yang ditanam oleh petani tempatan. Kuil-kuil lain yang ada untuk dilihat di dalam kompleks ini termasuk Kuil Vong, Gua Thuyet Kinh dan Pagoda Thien Son.
Perjalanan ke Pagoda Perfume ini sendiri merupakan pengalaman yang menarik. Terletak kira-kira 60 km dari barat daya Hanoi di sekitar Gunung Huong Son, anda perlu mengambil kereta selama kira-kira dua jam sebelum menaiki bot untuk sampai ke kompleks kuil. Bot ini akan menelusuri sungai dan anda akan mempunyai pilihan untuk berhenti dan melawat beberapa kuil ini. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masa yang singkat, terus sahaja ke Gua Huong Tich. Anda perlu berjalan kaki untuk ke Pagoda Perfume yang mengambil masa kira-kira satu jam. Laluan boleh menjadi licin, jadi anda perlu membawa kasut atau kasut hiking.
Waktu operasi: Setiap hari 6.30 pagi hingga 5 petang Lokasi: Huang Son, My Duc, Hanoi
Teater Boneka Air Thang Long
Teater Boneka Air Thang Long di Hanoi ini adalah antara teater boneka air yang terkenal di dunia dan mempunyai susur galur seni yang bermula pada abad ke-11. Tradisi teater boneka air ini berasal apabila kawasan sawah padi dibanjiri oleh air dan penduduk kampung akan membuat hiburan dengan berdiri di dalam petak sawah dan bermain boneka di dalam air yang berketinggian separas pinggang.
Menggunakan batang besar sebagai sokongan, boneka ini kelihatan seolah-olah bergerak di atas air dengan boneka-boneka yang lain akan disembunyikan di sebalik layar.
Tradisi teater boneka air ini unik terutama kepada Vietnam Utara, sehingga menjadikan ia terkenal dan dimainkan di beberapa lokasi berbeza seluruh dunia. Jadi pengalaman untuk menonton teater boneka air di sini merupakan pengalaman yang berbeza kerana ia dimainkan di lokasi asal iaitu panggung Teater Boneka Air Thang Long.
Pertunjukan teater boneka air ini diiringi oleh orkestra yang bermain musik tradisional menggunakan drum, loceng kayu, tanduk, seruling buluh dan simbal. Terdapat juga lagu-lagu tradisional Vietnam yang menceritakan kisah tersendiri sambil dilakonkan oleh boneka air.
Sebahagian besar pertunjukan ini menceritakan kisah rakyat Vietnam dan legenda rakyat tempatan dalam pelbagai topik termasuk perayaan penuaian padi yang digambarkan dengan cara yang lucu.
Pertunjukkan di pentas teater ini dilakukan di kolam air untuk boneka. Patung-patung boneka ini dikendalikan oleh tidak lebih dari lapan anak dalang yang bersembunyi di belakang layar buluh.
Pertunjukan Boneka Air Thang Long ini juga dianggap sebagai salah satu acara penting budaya masyarakat di Vietnam Utara, berasal daripada tradisi yang bermula di hulu Sungai Merah dan persembahan biasanya terdiri daripada beberapa plot pendek dan bukan satu plot cerita panjang, membawa penonton merasai perjalanan kehidupan kampung purba, hasil pertanian dan tarian makhluk mitos.
Plot penceritan teater boneka air ini juga menunjukkan kisah Legend of the Sword of King yang ditambahbaik, kisah Hoan Kiem Lake dan kura-kura raksasa. Selain itu, persembahan musik turut memainkan paranan penting dalam persembahan dengan penyanyi yang sering menjerit kata-kata dorongan kepada boneka.
Teater Boneka Air Thang Long adalah salah satu tarikan pelancong yang paling popular di Hanoi. Jadi, sebaiknya anda beli tiket terlebih dahulu sebaik sahaja anda tiba di Hanoi. Anda juga dinasihatkan untuk membeli tempat duduk di bahagian hadapan bagi mendapatkan pemandangan yang lebih dekat kerana terdapat beberapa ratus tempat duduk penonton dan boneka air ini tidak begitu besar.
Teater mempunyai 17 plot penceritaan dalam durasi satu jam. Selain daripada harga tiket sebanyak VND100,000, ada bayaran yang dikenalan untuk kamera atau video jika anda ingin mengambil gambar sepanjang persembahan ini.
Waktu operasi: Setiap hari pukul 3 petang, 4.10 petang, 5.20 petang, 6.30 petang dan, 8 malam. Lokasi: 57B, Dinh Tien Hoang Street, Hoan Kiem District, Hanoi Harga: VND100,000
Makam Ho Chi Minh
Makam Ho Chi Minh di Ba Dinh Square ini adalah salah satu tarikan yang paling banyak menerima pelawat di Hanoi. Makam ini adalah tempat berehat terakhir Ho Chi Minh, pemimpin Vietnam yang paling ikonik dan popular, serta turut dikenali sebagai ‘Uncle Ho’.
Tubuhnya disemadikan di dalam bekas kaca, walaupun persemadian itu menentang keinginan dirinya. Bagi pelancong, perjalanan ke tempat istirehat terakhir Uncle Ho boleh menjadi pengalaman luar biasa kerana ia bukan sekadar tarikan biasa; ia adalah sebahagian daripada sejarah yang unik.
Bermula pada tahun 1973, pembinaan makam ini diinspirasikan daripada makam Lenin di Rusia dan pertama kali dibuka kepada orang ramai pada tahun 1975. Binaan menggunakan granit memberi makna kepada penduduk tempatan sebagai simbol bahawa pemimpin mereka yang kasihi ‘hidup selama-lamanya’.
Keselamatan di sini agak ketat dan pelancong harus berpakaian sopan, tidak dibenarkan berpakaian seluar pendek, baju tanpa lengan dan miniskirt malah semua orang perlu menyimpan beg dan kamera mereka sebelum dibenarkan masuk. Pengunjung juga tidak dibenarkan berhenti kerana giliran pelancong untuk masuk ke sini adalah berterusan dan sentiasa sibuk.
Jasad Uncle Ho akan dihantar setiap tahun ke Rusia untuk proses pengawetan dan makam akan ditutup biasanya dari bulan Oktober dan ke atas. Anda dinasihatkan untuk menyemak tarikh lawatan dengan hotel anda sebelum berkunjung ke sini. Kemasukan ke sini adalah percuma tetapi derma ikhlas tetap diterima.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Zarania Caravan Park sesuai buat anda yang mahu merasai percutian yang mendamaikan dan tenang daripada hiruk pikuk bandar.
Hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai dari Plaza Tol Gopeng, Perak yang mana kawasan ini terkenal dengan aktiviti sungai yang mencabar.
Buat anda yang pertama kali yang menginap di dalam karavan, pasti akan jatuh cinta dengan pengalaman tinggal dalam kenderaan van panjang yang lengkap dengan katil selesa dan bilik air.
Zarania Caravan Park memiliki dua jenis karavan untuk dua orang dan empat orang, selain chalet berhawa dingin dan berkipas serta pondok yang berkonsepkan rumah kampung.
Apa yang menarik, lantai pondok penginapan yang berbunyi ketika berjalan cukup mengimbau nostalgia rumah kampung. Ada pondok penginapan yang membolehkan pengunjung beristirehat sambil menghirup udara segar yang nyaman.
Malah talian internet dan telefon bagi sesetengah syarikat telekomunikasi yang sukar untuk dicapai akan membolehkan pengunjung benar-benar menggunakan waktu bercuti dengan sepuas-puasnya dan berkualiti dengan orang tersayang.
Ini kerana segalanya bersatu dengan ketenangan daripada kesibukan kota, keindahan pokok-pokok yang meredupi dan kesejukan air serta angin dari sungai yang terbentang luas sambil menikmati alam semula jadi.
Lebih mengujakan, suasana pada waktu malam ditemani bunyi-bunyi alam semula jadi seperti cengkerik dan unggas yang mempesonakan.
Di sini ada sungai yang bersih di belakang resort dan persekitaran kebun turut menggamit suasana tenang kepada pengunjung.
Selain dapat bersantai di ruang dalam dan luar karavan, pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan sepanjang percutian anda di sini seperti memancing, mandi sungai, berkelah, BBQ dan aktiviti water rafting.
Selain itu, pengunjung mencuba aktiviti ATV dengan bayar RM100 atau aktiviti mendaki di Bukit Batu Putih yang terletak hanya 10 minit daripada tempat ini.
Jadi, anda boleh menikmati Zarania Caravan Park dengan cara berdamai dengan alam semula jadi, pasti puas!
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...