Pengalaman ketika bercuti pastinya satu kenangan yang akan dikenang selain momen indah yang dicipta sepanjang percutian. Terlepas pesawat, tertinggal bas, kehilangan duit atau passport antara insiden yang pasti buat traveler berasa kusut seketika.
Semua perancangan hilang dari fikiran bila ada insiden yang tak diingini berlaku semasa bercuti. Itulah yang dikongsikan oleh Norsazlizawati Md Ali ketika bercuti ke Eropah tahun lalu.
Pengalaman mahal menurut wanita ini apabila tertinggal bas di Paris dan terpaksa membeli tiket baharu dengan kos berharga RM1800. Turut berkongsi itinerari sepanjang percutiannya bersama suami dan dua orang anak, sememangnya insiden sebegitu satu pengalaman yang akan dikenang tiap kali bercuti.
Ikuti perkongsian wanita ini:
Tertinggal Bas Di Paris, Beli Tiket Bas Baharu Bernilai RM1800
Tertinggal bas untuk ke Munich dari Bercy Seine Bus Station, Paris adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakan dan merupakan pengalaman yang ‘mahal’ harganya. Mana taknya, kos pembelian tiket baharu untuk ke Munich akibat tertinggal bas 2 kali ganda lebih mahal berbanding tiket bas yang telah dibeli. RM1800 terbang melayang untuk pembelian tiket bas yang baharu.
Pada September 2022, saya bersama suami dan dua orang anak berusia 13 dan 7 tahun telah ke Eropah (Switzerland, Itali, Perancis dan Jerman) secara DIY. Berikut merupakan itinerari lengkap untuk percutian tersebut.
Itinerary Europe (Swiss, Milan, Paris, Munich): (2-11 Sept 2022)
2 Sept-
(2.40 a.m – 2.20 p.m)
– Penerbangan ke Geneva Airport. Transit di Abu Dhabi Airport selama lebih kurang 3 jam. Tiba di Geneva pada jam 2.20 p.m (waktu tempatan)
– Ambil tiket ke keretapi ke Luzerne yang mengambil masa sekitar 3 jam. Kami menggunakan ‘4 days Swiss Travel Pass (CTP)’ yang telah dibeli secara dalam talian sebelum trip melalui laman web https://www.swiss-pass.ch .
– daftar masuk di Holiday Inn, Kriens Mattenhof, Luzerne. Sangat selesa kerana hanya terletak sekitar 200 meter dari Stesyen Kriens Mattenhof, berhampiran dengan mini market dan terdapat banyak restoran di sekitarnya.
– rehat, makan dan tidur.
3 September 2022
– bersarapan di hotel.
– pusing-pusing Luzerne Town.
– Naik cruise ke Alpnachstad untuk ke Mount Pilatus. (Tiket cruise termasuk dalam STP)
– Pemandangan sepanjang perjalanan yang sangat cantik.
– Sampai di Alpnashstad, naik train ke Pilatus Bahn (termasuk dalam STP). Kemudian naik cogwheel train ke Mount Pilatus (25% dengan STP). Ini ialah landasan ‘cogwheel’ yang paling curam di dunia dan menyajikan pemandangan yang sangat memukau. Memang tidak akan mengecewakan.
– Sampai di puncak, kami makan dan minum sambil merakamkan kenangan di sana.
– turun semula ke bawah dengan kereta kabel. (termasuk dalam STP)
– ambil bas dan train ke hotel. (termasuk dalam STP)
– balik hotel, kami makan dan berehat untuk aktiviti pada hari esok.
Ads
4 September 2022
– Seawal pagi kami mula bergerak untuk trip 1 hari ke Interlaken.
– Kami menaiki train ke Interlaken. (Termasuk dalam STP)
– Beli-belah in Interlaken.
– Interlaken menyajikan pemandangan yang sangat cantik.
– Jangan risau tentang makanan halal kerana terdapat beberapa restoran halal di situ. Kedai serbaneka juga terdapat di situ.
– Selesai di Interlaken, kami ke Lauterbrunnen.
– Lauterbrunnen merupakan antara perkampungan yg tercantik di dunia. Ia sangat cantik dan bersih.
– Balik dari Lauterbrunnen kami pusing-pusing lagi di Luzerne Town dan beli sedikit cenderamata.
-balik hotel dan berehat.
5 September 2022
– 1 hari trip ke Zurich menaiki train.
– naik river cruise dan pusing-pusing sekitar Zurich. (Termasuk dalam STP)
– shopping lagi sampai pitam
– Kami makan piza ‘poulet’ iaitu pizza ayam yang sedap di Zurich.
– Beli-belah di Zurich. (Harga cenderahati di Zurich lebih murah di sini).
– Balik ke Luzerne Town.
– Pusing-pusing Luzern lagi. ‘Last shopping’ di Luzern sebelum berangkat ke Milan pada hari esoknya.
6 September 2022
– Daftar keluar.
– Ambil bas ke Milan yang mengambil masa sekitar 3 jam.
– Tiba di Lampugnano Station, Milan, terus beli ‘tourist pass’ untuk 1 hari. Satu kad berharga 7euro. Kanak- kanak naik train secara percuma di sana.
– Ambil Metro dari Lampugnano Station ke Crescenzago Station (subway di Milan) untuk ke Agape Hotel. Hotel ini mendapat rating yang tinggi di Agoda. Sangat selesa.
– Kami rehat sebentar. Makan ready to eat food dan solat.
– Tiba-tiba, kakak terkunci dalam toilet pula. Staf hotel datang tolong bukakan pintu. Aduhai, macam-macam hal.
– lepas solat, keluar dan terus ke Duomo Catedhral, salah satu tempat yang banyak dikunjungi di Milan. Dari Stesyen Crescenzago terus ke Stesyen Duomo.
– pusing pusing di sekitar Duomo.
– makan di salah sebuah restoran halal yang dimiliki seorang rakyat Palestin. Memang sedap. Tapi, jangan berani berani ‘convert’ duit ke matawang RM. Hehe
– balik bilik dan rehat.
7 September 2022
Ads
– Daftar keluar dan pusing-pusing di Milan. Hari ni kami pusing-pusing lagi di sekitar Duomo dan Galleria Emmanuel.
– shopping lagi.
– makan di Turkish Restaurant. (Jangan risau, banyak juga restoran halal di sekitar Duomo ni).
– Ambil bas bermalam di Paris.
– Awal pagi sampai di Bercy Seine Station, Paris.
8 September 2022
– Sampai di Bercy Seine Station, kami berjalan sekitar 320 meter untuk ke stesyen Metro di Paris. Kami beli beli day pass yang cover zone 1-5 di sekitar Paris bernilai 14euro setiap satu.
– Kami ambil Metro dari Stesyen Bercy Seine ke Stesyen Porte De Clichy untuk ke hotel.
– Daftar masuk di Novotel 17 Paris. Alhamdulillah.
– berehat sebentar untuk solat dan lurus-lurus kaki.
– kemudian keluar untuk ke Eifel Tower.
– pusing pusing dan shopping.
– balik hotel dan berehat.
9 September 2022
– Daftar keluar pada jam 11. Kebanyakan waktu daftar keluar di Eropah ialah pada jam 11 pagi.
– makan makanan yang dimasak sebelum keluar.
– pusing- pusing lagi di sekitar Eifel Tower.
– shopping. Harga cenderahati di Paris jauh lebih murah berbanding di Swiss dan Milan.
– Leka betul membeli-belah di Paris. Kami bergegas untuk ke Bercy Seine Bus Station untuk ke Munich, Jerman.
– Sesampainya kami di stesyen, bas tersebut telah mula bergerak meninggalkan stesyen.
– Kami berempat ambil masa untuk bertenang seketika, kemudian mula menuju ke kaunter bas untuk beli tiket baharu.
– Kami beli tiket baharu yang akan ke Munich pada malam itu juga. Maka, terbang melayang RM1800 untuk 4 orang.
10 September 2022
– Awal pagi sampai di Munich.
– Kami rasa ‘welcomed’ di Munich kerana terdapat restoran halal di stesten bas. Stesyen bas bersambung dengan stesyen kereta api.
– Kami beli tiket kereta api sehala ke hotel.
– Daftar masuk di Novotel Hotel, Munchen.
– Berehat di hotel je malam tu.
Ads
11 september 2022
– ambil ‘shuttle bus’ dari hotel ke Munich Airport secara percuma.
– pusing-pusing di airport dan beli cenderahati dari Jerman untuk dibawa pulang.
– Terbang balik ke Malaysia.
– Alhamdulillah, selamat tiba di Malaysia pada 12 September 2022.
Perbelanjaan kasar:
1. Tiket kapal terbang (3 dewasa, 1 kanak-kanak)- RM15300 Saudia Airlines
2. Hotel- RM9000 (Swiss, Itali, Perancis, Jerman)
3. STP- RM2700 (Elysh dan Eryf percuma kerana di bawah 16 tahun)
4. Bus ke Milan – RM500
5. Bus ke Paris- RM1128
6. Bus ke Munich – RM818 ( tiket bas kami beli awal secara dalam talian melalui www.flixbus.com)
7. Bus ke Munich (tiket baharu)-RM1800
8. Toilet sekali masuk 1.5CHF di Swiss aka RM7-RM8. Di Europe harganya 1euro setiap kali masuk. Convertlah sendiri. Masuk toilet pun guna debit card.
Makan dan beli-belah bergantung individu dan bajet.
Nak kata ini trip bajet, tidak juga. Ini trip yang selesa untuk kami sekeluarga. Nasihat saya, jika mahu travel secara DIY, memang perlu rajin buat research dan study setiap perkara dari segi hotel, pengangkutan, makan, tempat yang ingin dilawati dan sebagainya. Bagi saya, apa yang membuatkan saya seronok untuk travel secara DIY ialah saya dan suami berkongsi tugas. Setiap dari kami punya tugas masing-masing untuk buat research dan study. Baharulah sesuatu percutian itu menjadi momen-momen terindah. Memang perlu tahap kesabaran yang tinggi kerana tidak semua akan jadi indah seperti yang kita bayangkan. Jadi, perlu bersedia dari segi fizikal, mental dan material juga. Apa yang lebih penting, setiap trip DIY yang kami lakukan menjadikan kami insan yang lebih bersyukur.
“Semahal-mahal harga yang perlu dibayar untuk setiap percutian, mahal lagi pengalaman yang dapat dikutip di sepanjang perjalanan.”
Terlalu banyak untuk dikisahkan. Tunggu buku keluarlah ye. Baru ada cover buku je. Tah bila nak siap, tak tahulah…
Sofistikated dan stail, perkataan yang tepat untuk menggambarkan restoran BLVD House yang terletak di NAZA Tower, Platinum Park, Persiaran KLCC dengan menampilkan gaya dan menu eksklusif yang menyelerakan.
Sebaik melangkah masuk ke restoran serba mewah ini, jelmaan interior yang mendominasi ruang umpama berada di sebuah restoran di luar negara dengan konsep smart dan chic London/ New York style all-day Brasserie.
Penataan yang memukau pandangan dilengkapi ruangan bar memberikan aura cozy buat pengunjung. Bukan hanya dilimpahi interior yang menarik malah restoran ini menyediakan servis terbaik seperti mana hotel lima bintang.
Di BLVD menawarkan pengalaman menikmati hidangan secara eksklusif dan holistik, ditemani alunan muzik eklektik jazz, rangkaian lagu klasik seperti Frank Sinatra bersesuaian dengan suasana restoran ini.
Anda bebas untuk memilih ruang makan yang diingini dengan interior ruang yang classy. Kehadiran lampu sorot membuat suasana di dalam restoran ini terasa cozy dan menenangkan. Ruang bar dilengkapi dengan meja yang lebar dan penataan semi-alfresco. Melihat sekitar ruang dalam restoran ini banyak menerapkan elemen gaya tahun 1930an dengan sentuhan brass, kayu dan penggunaan kerusi classic Thonet.
BLVD House menyasarkan sebagai tumpuan bagi mereka yang inginkan gaya makan eksklusif serta menu terbaik umpama Pastis di New York, The Wolseley di London, Union di Jakarta atau Greyhound Cafe di Bangkok yang menawarkan pengalaman makan yang jarang didapati di Kuala Lumpur. Restoran ini menawarkan ruang makan untuk relaks dan bersantai untuk residen sekitar, pelancong dan pekerja di sekitarnya.
Sebahagian besar menu di sini didominasi oleh hidangan barat, Familiar American/ Continental Classics. Chef Yusny yang jadi master mind untuk BLVD House. Berbekalkan pengalaman selama 21 tahun sebagai chef kulinari, dia bertanggungjawab dalam penyediaan menu tempatan, Asia dan barat di restoran ini.
Dengan keluasan sedia ada , restoran ini tidak hanya menjadi pilihan tempat makan bersama keluarga dan teman malah sesuai bagi mengadakan acara eksklusif .
Kapasiti muatan dianggarkan 75 orang di ruang menjamu manakala di ruang bar dan lounge 25 orang memberi keselesaan buat anda yang ingin mengadakan acara. Restoran yang beroperasi sejak April 2016 ini dibuka setiap hari Isnin – Khamis (12:00 tgh- 11:00 mlm), Jumaat –Sabtu (12:00 tgh – 1:00 pg), Ahad (09:00pg – 11:00pg).
Rasai pengalaman makan di BLVD House ditemani interior hebat pastinya membuat anda ingin menghabiskan masa yang lama di sini.
Jika bercadang atau merancang percutian keluarga ke Taiwan, catatkan destinasi Leofoo Village sebagai destinasi yang perlu dikunjungi. Terletak di daerah Hsinchu Taiwan, Leofoo Village antara destinasi terbaik percutian keluarga yang tidak harus dilepaskan untuk dikunjungi. Segalanya terdapat di sini, dari taman tema bertaraf dunia, binaan landskap dunia mengkagumkan, penginapan empat bintang unik lagi esklusif serta sajian makanan lazat yang Halal.
Mini Replika Binaan Dunia Jadi Tarikan
Apabila berada di dalam kawasan Leofoo Village, singgah sebentar di Window On China untuk melihat hasil ketelitian serta kehalusan mini replika pelbagai jenis bangunan dan binaan termasyhur dunia. Window On China telah dianugerahkan antara 10 destinasi tumpuan pelancong ke Taiwan. Kira-kira 133 miniatur bangunan terhidang di hadapan mata termasuk Dewan Memorial Sun Yat-Sen, Taiwan, Menara Pisa Itali, St Basil Rusia, dan patung Statue of Liberty Amerika Syarikat. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan di sini.
Menjengah Harimau ‘Life of Pi’
Bagi menambahkan keseronokan percutian di lokasi ini, berkunjunglah ke Leofoo Village Theme Park. Ia adalah taman tema yang terdiri daripada empat konsep hiburan mengikut tema beberapa negara seperti African Safari, South Pacific, Wild West, dan Arabian Kingdom. Malah, ia menawarkan lebih 30 permainan serta aktiviti di zon basah dan kering yang cukup menghiburkan terutama roller coaster berbentuk U yang kedua tertinggi di dunia.
Terdapat juga haiwan liar dibiar bebas berkeliaran seperti harimau, singa, zirafah dan badak. Setiap spesies haiwan ditempatkan dalam komuniti sendiri dengan pintu jeriji besi sebagai pemisah. Kalau pernah menyaksikan filem pecah panggung Life of Pi, harimau yang digunakan di dalam filem tersebut dipinjamkan dari taman ini dan dikatakan telah menjadi ‘selebriti terkenal’ di sini.
Pengunjung boleh memilih menjelajah seluruh African Safari dengan bas atau keretapi mini yang disediakan. Haiwan lain yang unik terdapat di sini adalah spesies alpaca. Anda dibenarkan memberi haiwan jinak ini makan dengan membeli makanan yang disediakan berhampiran ruang sangkarnya.
Selain bersantai dan mengenali haiwan, pengunjung berpeluang menyelami dunia koboi di Wild West, menghayati hikayat 1001 malam Aladdin di Arabian Kingdom dan mencuba pelbagai permainan air di South Pasific. Jangan lupa untuk singgah di kedai cenderamata untuk membawa pulang beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan, terutamanya ikon haiwan alpaka yang comel.
Hidangan Lazat Timur Tengah
Sebagai memenuhi keperluan pelancong Muslim untuk dapatkan hidangan halal, pengunjung beragama Islam boleh mendapatkan makanan cita rasa Timur Tengah di Restoran Aladdin dalam kawasan Leofoo Village Theme Park dengan mudah.
Pelbagai menu Asia Barat tersedia buat pengunjung seperti Grilled Squid Salad, Chick Peas Sauce & Pita, Red Lentil, Stewed Mutton, Grilled Chicken Leg dan Puding Nasi. Anda pasti tertarik melihat nasi briyani berbentuk piramid menghiasi pinggan dengan lauk kurma kambing atau ayam tandoori. Apa yang penting, taman tema ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung muslim termasuk bilik solat dan tandas berpaip.
Check In Dalam Safari
Rehatkan lelah anda selepas seharian berlibur dengan memilih menginap di Leofoo Resort tidak jauh dari Window On China dan terletak berhampiran Leofoo Village Theme Park.
Membangunkan konsep Safari inspirasi dari negara Afrika, resort ini menawarkan hanya 161 buah bilik esklusif demi menjaga hak bersendirian tetamunya. Tidak kira kanak-kanak atau golongan dewasa pasti terpukau dengan konsep unik yang ditawarkan iaitu menginap bersama haiwan disekeliling resort.
Umpama berada di dalam zoo, anda boleh melihat zirafah, kuda belang, badak, dan banyak lagi hanya dari jendela kamar atau baring di atas katil. Jangan risau mengenai masalah bau-bauan haiwan yang timbul dari persekitaran safari, kerana setiap kamar dilengkapi dengan gelas kaca yang nyah bau.
Bilik anda tidak akan sesekali memberikan bau yang kurang menyenangkan. Jika anda berada di jambatan yang menghubungkan kawasan safari ke resort, terdapat haiwan terutama zirafah menghulur keluar kepala, jangan sentuh atau memberi makanan. Ianya perkara yang sangat dilarang di sini.
Pada malam hari pula, terdapat persembahan dari suku kaum Afrika yang begitu mengujakan dengan rentak tarian yang pasti membuatkan mata anda tidak berkelip. Memang sesuai sekali resort ini diberi pengiktirafan sebagai ‘Asia’s first and only ecological and animal themed resort’.
Cara Ke Sini
Keretapi (Taiwan Railway)
Ambil perkhidmatan keretapi Taiwan Railway dari stesen Taipei ke stesen Chungli. Setibanya di Chungli Train Station ambil perkhidmatan bas (Hsinchu Transport Bus) terus ke Leofoo Village dengan perjalanan selama 70 minit.
THSR (Taiwan High Speed Rail)
Setibanya di stesen THSR Hsinchu, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan masa perjalanan hanya 20 minit untuk sampai di Leofoo Village.
Kereta
Menggunakan lebuhraya nombor3 dan keluar ke Guansi (4km)
Menggunakan lebuhraya nombor1 dan keluar ke Youth (13km)
Bas
Bas ini bergerak terus ke Leofoo Village dari Taipei (Sungshan Airport Station) mengikut jadual masa perjalanan yang telah ditetapkan. Rancang masa anda lebih awal jika ingin menggunakan perkhidmatan ini agar tidak tertinggal bas. Lebih kurang 90 minit masa perjalanan yang diperlukan untuk sampai di destinasi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Bermula 29 Mei sehingga 23 Jun 2017, V E Hotel & Residence (V E Bangsar South) mengalu-alukan kehadiran bulan mulia ini dengan berbagai-bagai jenis hidangan enak dari negara Arab serta tempatan bagi mengetengahkan cita rasa unik Malaysia di restoran mereka, The Straits Estate.
Di The Straits Estate, anda bakal dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan yang enak, hasil pertembungan budaya kedua-dua rantau berkenaan. Sajian menu istimewa ini disediakan oleh pasukan chef yang diketuai Eksekutif Chef Sous Unaver Unabia.
Chef Unaver yang berasal dari Sabah akan mempamerkan kepakarannya dalam menyediakan masakan Arab serta kecintaan beliau terhadap masakan tradisional Malaysia dalam aneka sajian bertemakan ‘Straits & Arabian Bazaar’ (Bazar Negeri Selat & Arab) tahun ini.
Hidangan pembuka selera seperti Hummus, Babaganoush, Moutabel, Salad Fattoush, Kerabu Pucuk Paku Dengan Udang Kering, Serunding Ayam dan Daging dan banyak lagi boleh anda nikmati.
Kemudian, rasailah hidangan utama Arab yang padat dengan aroma seperti Lamb Shank Tagine, Ouzi Kambing, Kebab dan Shish Taouk, Shawarma Ayam (makanan jalanan yang klasik) dan Sup Harira yang berkhasiat (sup tomato dan kekacang).
Pengunjung juga boleh menikmati masakan Melayu seperti Kambing Golek dan Ayam Golek yang diperap dengan resipi tradisi Kelantan, Kari Kawah Kepala Ikan Ala Melaka dan Ayam Percik Terengganu yang dipanggang hingga sempurna. Selain itu anda boleh memuaskan selera makanan laut yang dibakar seperti Ikan Tenggiri Bakar, Ikan Pari, Ikan Tongkol, Ikan Cencaru dan banyak lagi.
Pemanis mulut seperti Pancuran Coklat dengan pelbagai kondimen, Tart Laici Rangup, Kek Mousse Strawberi atau hidangan manis tempatan seperti Bubur Serawa Nangka, Pengat Pisang, aneka kuih-muih Melayu melengkapi juadah berbuka puasa anda.
Bermula 29 Mei sehingga 5 Jun, hanya RM98 untuk dewasa di bawah promosi “Early Bird Savings”. Manakala pada 6 Jun dan seterusnya, buat tempahan dan bayar sebelum 15 Mei 2017 bagi menikmati potongan harga sebanyak 20%: Harga biasa RM128 bagi dewasa, Set Muhibbah Dome (hidangan untuk 10 orang sahaja) berharga RM1,288 atau RM1,588 semeja.