Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke kota yang terletak di sebelah Australia barat, Perth pasti menggamit kehadiran anda ke sini. Sebabnya, kota yang mula dibina pada tahun 1829 ini menjanjikan suasana percutian santai dengan keindahan alam menambat jiwa. 

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

Tak kenal, maka tak cinta. Tidak seperti kota Sydney, Perth sebenarnya cukup ideal untuk mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota. Ironi bukan?

Mungkin ada yang tidak percaya Perth bebas daripada kesesakan trafik. Jadi anda boleh mengelilingi Perth dengan memandu sendiri tanpa perlu gusar. Paling seronok, tiada jalan bertol, jadi tidaklah membebankan. Dengan memandu sendiri, banyak lokasi menarik yang boleh diterokai.

Kali ini penulis mahu berkongsi cerita tentang dua pulau popular iaitu Pulau Rottnest dan Pulau Penguin. Kedua-dua pulau ini punya tarikan tersendiri. Keindahannya sukar dilafazkan dengan kata-kata. Indah bukan kepalang.

Selfie bersama Quokka di Rottnest

Selain terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, Rottnest Island juga popular dengan kehadiran haiwan marsupial yang cukup comel, Quokka yang menjadi penghuni setia.

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

Untuk sampai ke Rottnest Island, anda perlu mengambil feri sama ada dari Perth’s Barrack Street Jetty, Hillary Boat Harbour atau Fremantle.  Jika memilih feri dari Perth, perjalanan akan mengambil masa selama 90 minit, dari Hillary Boat Harbour mengambil masa kira-kira 45 minit, manakala dari Fremantle hanya 25 minit.

Rottnest Island ini memang sangat cantik. Di sini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan seperti berenang, snorkeling, selam skuba, piknik di tepian pantai dan paling penting jangan lupa selfie bersama si manja Quokka.  Tak perlu susah-susah mencari Quokka ini sebab memang banyak berkeliaran di pulau ini, terutamanya di kawasan berhampiran jeti.

IKLAN

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

Salah satu cara hendak mengelilingi Rottnest Island ialah dengan mengayuh basikal. Anda boleh beli pakej yang menawarkan tiket feri dua hala + basikal untuk kegunaan harian. Mudah, sampai sahaja di jeti Rottnest Island, anda boleh ambil terus basikal. Tak perlu buang masa mencari di tempat lain.

Berbasikal memang seronok sebab mudah untuk berhenti di mana-mana lokasi yang dirasakan menarik. Bagaimanapun ia menguji stamina sebab jalannya bukan mendatar. Perlu diingatkan keluasan pulau ini boleh tahan juga iaitu 19 kilometer persegi.  Jika anda punya masa yang terhad di pulau ini, lebih baik ikut pakej bas untuk keliling pulau. Lebih selesa dan sempat singgah ke semua tempat menarik untuk bergambar.

Jika ingin juga berbasikal, jangan lupa ambil peta di pusat informasi sebelum meninggalkan kawasan jeti. Tanpa peta, anda tidak dapat merancang perjalanan.

Antara tempat mesti singgah ialah Bathurst Lighthouse, Wadjemup Lighthouse, Parker Point, Little Salmon Bay, Parakeet Bay dan Pink Lake.

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

IKLAN

Untuk keseronokan maksimum, adalah lebih baik bermalam di sini semalam dua. Terdapat beberapa buah penginapan yang boleh dijadikan pilihan.

Tengok penguin terkecil di dunia

Penguin Island terletak di Rockingham yang memerlukan masa pemanduan kira-kira 45 minit dari pusat bandar Perth. Sesuai dengan namanya, salah satu tarikan utama di Penguin Island ialah melihat penguin terkecil di dunia. 

Penguin Island hanya boleh dilawati di antara pertengahan September sehingga awal Jun. Ini kerana pulau yang turut dihuni oleh lebih 50 spesies burung laut ini ditutup pada waktu-waktu lain kerana pihak bertanggungjawab tidak mahu koloni penguin terganggu ketika musim pembiakan. Anda tidak akan menyesal ke sini, Penguin Island menjanjikan pemandangan alam yang cukup mempesona. Sukar diungkap dengan kata-kata. 

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

IKLAN

Terdapat beberapa pilihan pakej yang boleh dibeli untuk ke Penguin Island. Namun untuk pengalaman lebih bermakna dan mencabar , lebih baik beli pakej Dolphin, Penguin and Sea Lion Cruise di http://sightseeingpassaustralia.com.

Mengapa perlu beli di laman web ini? Sebab servisnya profesional. Anda boleh beli di laman web yang lain, tetapi mungkin pengalamannya berbeza. Selain itu, anda dinasihatkan supaya menempah pakej lawatan ke Penguin Island lebih awal kerana ia sering penuh terutama pada musim cuti atau hujung minggu.

Berbalik kepada pakej Dolphin, Penguin and Sea Lion Cruise, pakej ini mengambil masa kira-kira tiga jam masa lawatan. Selain dapat melihat penguin secara dekat, anda juga dapat mengintai ikan lumba-lumba, singa laut dan juga beberapa spesies burung lain. Memang pengalaman yang cukup berharga. Bukan kanak-kanak sahaja boleh teruja, orang dewasa juga akan merasakan keseronokannya.

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

Sepanjang pelayaran, anda akan mendengar penerangan daripada krew feri tentang setiap spesies haiwan yang ditemui.  Banyak info menarik yang dikongsi. Selain itu, anda juga perlu bersabar sedikit untuk bertemu dengan ikan lumba-lumba, sebabnya haiwan liar ini bukan boleh dipanggil-panggil. 

Selesai mengintai ikan lumba-lumba dan singa laut, anda dibawa ke daratan Penguin Island.  Sampai di sini, jangan lepaskan peluang  ke discovery centre untuk melihat si comel penguin yang diselamatkan daripada pelbagai bahaya.

Mengintai Dua Pulau Popular Di Perth Australia

Sebelum bertolak pulang, jangan lupa mengelilingi pulau ini dengan berjalan kaki sambil merakam gambar untuk  kenang-kenangan. Selamat bercuti!

Perkongsian pengalaman oleh Sri Rahayu Mat Nah

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI