
Sempena sambutan Deepavali 2026, beberapa pusat beli-belah popular di sekitar Kuala Lumpur tampil dengan dekorasi penuh warna-warni yang cukup menarik untuk dikunjungi.
Menerusi kempen perayaan anjuran Pavilion REIT, Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Intermark Mall menawarkan pengalaman berbeza dengan gabungan seni warisan India, persembahan kebudayaan dan pelbagai aktiviti menarik.
Bukan sekadar lokasi membeli-belah, ketiga-tiga pusat beli-belah ini juga sesuai dijadikan destinasi jalan-jalan, OOTD dan bergambar bersama keluarga sepanjang musim perayaan.
Pavilion Kuala Lumpur: Dekorasi Inspirasi Istana Diraja India
Bertemakan Journey of Radiance, Pavilion Kuala Lumpur di Bukit Bintang membawa pengunjung menikmati suasana penuh kemegahan yang diinspirasikan daripada istana diraja India.
Berlangsung dari 22 Oktober hingga 9 November 2026, kempen ini menampilkan pelbagai dekorasi menarik termasuk payung diraja, patung gajah berhias, burung merak dan bunga marigold.
Di kawasan Promo B pula, pengunjung boleh melihat dekorasi bangunan tradisional haveli dan tingkap jharokha yang diinspirasikan daripada seni bina istana di Rajasthan.
Tidak ketinggalan, kawasan Spanish Steps turut dihiasi limpahan bunga marigold dan tanglung yang diinspirasikan daripada pelita tradisional diya.
Saksikan Persembahan Tarian Tradisional India
Selain dekorasi, Pavilion Kuala Lumpur turut menyediakan persembahan tarian kebudayaan oleh NutriHeart pada 7 dan 9 November 2026, jam 3 petang.
Persembahan ini akan bergerak dari Spanish Steps melalui Centre Court sebelum berakhir di pintu masuk utama.
Antara tarian yang diketengahkan termasuk Kathak, Odissi, Kathakali, Peacock Dance dan Rajasthani Pot Dance.
Pengunjung juga boleh mencuba seni inai tradisional di Henna Art Station sepanjang kempen berlangsung.
Pavilion Bukit Jalil: Saree Dengan 1,080 Berkat Jadi Tarikan Utama
Sementara itu, Pavilion Bukit Jalil mengetengahkan tema Joyful Lights – Together, Here yang berlangsung dari 22 Oktober hingga 9 November 2026.
Antara tarikan utamanya ialah instalasi seni The Saree of 1,080 Blessings, hasil kreativiti pelajar UCSI Group yang dipamerkan di Foyer Entrance, Aras 3.
Karya ini diinspirasikan daripada angka 108 yang mempunyai kepentingan dalam tradisi Hindu, kemudian dikembangkan menjadi simbol 1,080 berkat.
Lebih menarik, dua dekorasi gajah bercahaya LED turut menghiasi Spanish Steps, manakala seni kolam berwarna-warni hasil pelajar City University Malaysia boleh dilihat di pintu masuk Bukit Jalil dan PIAZZA.
Ada Persembahan Tarian & Bengkel Menghias Pelita
Bagi yang mahu merasai kemeriahan Deepavali dengan lebih dekat, Pavilion Bukit Jalil turut mengadakan persembahan Indian Semi Classical and Fusion Dance pada 7 dan 8 November 2026.
Persembahan dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang dan 4.30 petang di Foyer Entrance, Aras 3.
Ahli Pavilion Privileges juga berpeluang menyertai Diya Paint & Glow Workshop, iaitu aktiviti menghias pelita tradisional yang boleh dibawa pulang sebagai kenangan.
Maklumat pendaftaran bengkel boleh didapati melalui aplikasi Pavilion Bukit Jalil.
Intermark Mall Turut Meriah Dengan Seni Kolam
Tidak hanya dua lokasi tersebut, Intermark Mall juga menyertai sambutan Deepavali menerusi kempen Kaleidoscope of Light dari 21 Oktober hingga 11 November 2026.
Pengunjung boleh menikmati keindahan seni kolam hasil kerjasama dengan Siran’s Arts, selain membeli-belah di Deepavali Marketplace yang menawarkan pilihan fesyen perayaan dan hadiah.
Setiap lokasi mempunyai keunikan tersendiri, jadi korang boleh pilih pusat beli-belah yang paling dekat atau kunjungi semuanya untuk menikmati dekorasi yang berbeza.
Info Ringkas Sambutan Deepavali Pavilion REIT 2026
| Lokasi | Tarikh | Tarikan utama |
|---|---|---|
| Pavilion Kuala Lumpur | 22 Okt – 9 Nov | Dekorasi istana India, seni inai, persembahan tarian |
| Pavilion Bukit Jalil | 22 Okt – 9 Nov | Saree 1,080 Blessings, gajah LED, seni kolam |
| Intermark Mall | 21 Okt – 11 Nov | Seni kolam dan Deepavali Marketplace |
Sambutan Deepavali kali ini bukan sahaja membawa suasana perayaan yang meriah, malah memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali keindahan seni, tradisi dan budaya masyarakat India.
Kalau korang belum ada rancangan hujung minggu, bolehlah singgah ke lokasi-lokasi ini sebelum kempen berakhir!

sekarang!
